Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Saturday, October 16, 2010
tersepit Jari
Jurutol patah 3 jari, tersepit antara pintu lori, pondok tol
Mohd. Shohaimi Jusoh (kiri) bersama Ketua Puteri Umno Pahang, Siti Azma Izzah Adnan (dua kanan) melawat Noratikah Azman '20' (tengah) di rumahnya di Felda Lepar Hilir, Kuantan, semalam.
KUANTAN 15 Okt. - Seorang jurutol patah tiga jari tangan kanannya selepas tersepit antara pondok tol dengan pintu lori ketika kenderaan itu mengundur untuk mendapatkan tiket transit di Plaza Tol Gambang di sini Selasa lalu.
Kejadian berlaku pukul 2.20 pagi ketika mangsa, Noratikah Azman, 20, bertugas syif malam di plaza tol itu.
Ketika ditemui, Noratikah berkata, sebuah lori berhenti dan pemandunya membuka pintu untuk mendapatkan tiket transit.
"Semasa saya menghulurkan kad berkenaan, lori itu mengundur dan pada masa yang sama tangan saya tiba-tiba tersepit antara pintu lori dan dinding pondok saya bertugas.
"Saya menjerit kesakitan dan pemandu lori itu segera memberhentikan kenderaannya untuk membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Lepar Hilir 4 di sini hari ini..
Menurut mangsa, dia kemudian menghubungi penyelia bertugas bagi memaklumkan keadaannya kerana tiada petugas lain bertugas ketika itu.
Bagaimanapun, dakwanya, penyelia itu hanya mengarahkan jurutol lain menggantikannya dan tidak menghantar ke klinik bagi mendapatkan rawatan atas alasan dia tiada pengganti.
Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dalam keadaan kesakitan, dia menghubungi ibu bapanya untuk membawanya ke hospital.
"Ibu dan bapa saya bergegas datang untuk membawa saya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi mendapatkan rawatan.
"Pemandu lori berkenaan turut bersama-sama ke hospital dan memohon maaf atas kejadian itu," jelasnya.
Namun, apa yang dikesalkan adalah pihak syarikatnya seolah-olah lepas tangan dan tidak bertanggungjawab dengan kejadian tersebut, katanya yang telah disahkan dalam jawatannya selepas sembilan bulan bekerja.
Noratikah mendakwa, walaupun kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku, pihak syarikatnya tidak sewajarnya 'memejamkan mata.'
Sementara itu, pihak konsesi syarikat tol berkenaan ketika dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan atas alasan pegawai berkaitan berada di luar negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment