Saturday, October 23, 2010

Inani Zalikha

Terkilan anak tak sempat bergelar doktor


KUALA LUMPUR: “Hasrat kami untuk melihat Inani menjadi doktor dan berkhidmat kepada masyarakat tidak kesampaian selepas dia dijemput Ilahi,” kata bapa Inani Zalikha, 23, yang ditemui mati di rumah sewanya di Bandung, Indonesia, pagi kelmarin.

Zainal Abidin Ismail, 50, yang masih bersedih dengan pemergian anaknya itu mendakwa terkilan kerana tidak dapat meraikan kejayaan anaknya yang sepatutnya menamatkan pengajian dalam dua bulan lagi.


Inani seorang pelajar jurusan asas kedoktoran di Universiti Padjadjaran (Unpad) di Bandung ditemui terbaring atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya kira-kira jam 5 pagi (waktu Malaysia) selepas solat Subuh.


“Saya ada bercakap dengannya itu Sabtu lalu untuk bertanya khabar. Dalam perbualan itu, dia memaklumkan kepada saya mengalami demam dan batuk-batuk.


“Namun, dia mendakwa hanya demam biasa dan tidak sakit teruk. Saya tidak menyangka perbualan kami itu yang terakhir,” katanya ketika ditemui sebelum pengebumian anaknya itu di Masjid Al-Ridhuan, Kampung Pasir, di sini, semalam.


Difahamkan, Inani Zalikha atau mesra dengan panggilan Ika pernah mengadu mengalami sakit belakang setiap hari dalam laman sosial facebooknya hingga tidak mampu menahannya sejak seminggu lalu.


Zainal berkata, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.30 pagi, dan dibawa ke masjid untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan berdekatan masjid berkenaan selepas solat Jumaat.


Menurut Zainal, isterinya, Maznah Abdullah, menerima panggilan telefon rakan serumah anaknya itu kira-kira jam 7 pagi kelmarin mengatakan Ika meninggal dunia kerana sesak nafas. Katanya, isterinya turut dihubungi pihak penaja iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengenai kematian sebelum bertolak ke Bandung bersama dua saudara lain kira-kira jam 1.30 tengah hari untuk menuntut jenazahnya.

No comments:

Post a Comment