Thursday, October 14, 2010


Kelantan diserang 95 minit awal dari Pearl Harbour


salleh Mohd. Akib menunjukkan manuskrip bukunya bertajuk Kubu Kebal British di Kelantan yang bakal diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Jepun.

KOTA BHARU 13 Okt. - Umum mengetahui serangan tentera Jepun ke atas Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua bermula di Kelantan apabila mereka mendarat di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa pada 8 Disember 1941.

Namun, mungkin ramai tidak menyedari bahawa serangan itu sebenarnya menandakan bermulanya Perang Dunia Kedua dan serangan Jepun ke atas negara-negara di Asia Pasifik setelah Eropah mula diserang pada 1939 oleh Jerman, salah satu negara pakatan 'Axis' selain Itali dan Jepun.

"Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik bermula di Kelantan, bukan Thailand atau Pearl Harbour, Hawaii.

"Jepun mendarat paling awal di Pantai Sabak dari tempat-tempat lain," kata Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri, Datuk Salleh Mohd. Akib dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Salleh berkata, beberapa waktu selepas pukul 12 tengah malam 8 Disember 1941, tentera Jepun seramai 5,200 orang yang dipimpin Pemerintah Tentera Darat, Mejar Jeneral Hiroshi Takumi telah melepaskan tembakan pertama ke atas tentera British yang berkawal di kubu kebal Pantai Sabak.

Sebelum itu, kelibat lima kapal pengangkut dan pembinasa yang berlabuh beberapa kilometer dari pantai, dikesan tentera British berketurunan India-Punjab yang berkubu di kubu kebal tersebut.

Katanya, konvoi tentera Jepun yang lain juga pada masa sama bergerak ke Teluk Siam dan masuk ke wilayah Nakhon Sri Thamarat, Patani dan Sanggora.

Namun, kata beliau, serangan tentera Jepun di Thailand itu juga lewat dua jam daripada serangan mereka ke atas Pantai Sabak.

Katanya, walaupun laporan mengatakan pangkalan angkatan tentera Amerika Syarikat di Pearl Harbour, Hawaii diserang pada 7 Disember tahun itu, tentera Jepun menyerang Kelantan 95 minit lebih awal.

"Mengikut perkiraan 'international dateline', Kelantan sebenarnya lebih dahulu diserang dari Pearl Harbour sebanyak 95 minit lebih awal.

"Jepun yang cemburu melihat Jerman dan Itali menguasai negara di Eropah dan Afrika telah menyerang Tanah Melayu lebih dahulu dari tempat lain.

"Sama ada perlu dibanggakan atau tidak, Pantai Sabak menjadi saksi awal kepada sejarah Perang Dunia Kedua di rantau Asia Pasifik," katanya.

Salleh berkata, tentera Jepun menghadapi tentangan sengit daripada tentera British yang berkawal di kubu-kubu kebal di pantai dan kawasan lain sepanjang perjalanan ke Kota Bharu dan mereka terpaksa menunggu selama sehari sebelum dapat menawan ibu negeri Kelantan itu pada 9 Disember 1941.

"Kemudiannya tentera Jepun mara ke Machang pada 14 Disember 1941 dan menawan pula Kuala Krai pada 20 Disember 1941.

"Kejayaan di Kuala Krai yang menyaksikan tentera British terpaksa berundur ke Kuala Lipis bermakna Jepun berjaya menakluk Kelantan sepenuhnya," katanya.

Salleh berkata, menurut catatan buku-buku sejarah, dalam peperangan untuk menguasai Kelantan, Jepun menawan 27 meriam medan, 73 pucuk mesingan ringan dan berat, tujuh pesawat, 157 kereta dan trak serta 33 gerabak kereta api.

"Manakala kerugian bagi pihak Jepun pula, mereka kehilangan dua kapal pengangkut, 320 tentera terbunuh dan 538 orang lagi cedera," katanya.

Beliau berkata, penawanan Jepun ke atas tentera darat dan udara British di Kelantan adalah kejayaan besar kepada negara Matahari Terbit tersebut kerana Kelantan dianggap sebagai pintu utara Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment