Monday, October 11, 2010


Muka hancur ditoreh
Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/10/11

KAJANG: Mengerikan apabila muka seorang duda ditoreh hingga sukar dikenali, manakala tangan kanannya putus dipercayai ditetak sebelum mayatnya ditemui orang ramai di satu kawasan lapang di Taman Kajang Utama, di sini, pagi semalam.


NGERI...anggota polis mengangkat mayat yang ditemui berlumuran darah.
Keadaan mayat yang ngeri menunjukkan pelakunya berdendam dengan mangsa.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Rashid Abdullah, 31, dijumpai dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di sebuah kawasan lapang di taman berkenaan pada kira-kira jam 9 pagi oleh orang awam yang kebetulan beriadah di situ.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, dia tidak menolak kemungkinan angkara dendam penyebab kematian mangsa.

“Kejadian ini bukan kerana samun berikutan dompet milik mangsa masih berisi wang RM320 dan dalam keadaan baik, malah tidak dikeluarkan dari poket mangsa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Mangsa yang juga penyelia syarikat keselamatan di sini dipercayai ditetak dan mukanya ditoreh menggunakan senjata tajam berdasarkan keadaan mayatnya yang cedera teruk.

“Dia yang berasal dari Perak juga dikenali penduduk di situ.

“Malah, kami juga mengesan bekas isterinya yang dicerai tiga tahun lalu untuk membantu siasatan,” katanya. Katanya, polis masih menyiasat kenapa mangsa berada di kawasan perumahan itu kerana tinggal di sebuah apartmen di daerah ini.

“Dianggarkan masa kematian mangsa adalah kira-kira jam 3 pagi ketika penduduk kawasan perumahan berkenaan sedang nyenyak tidur.

“Kami kini giat mengesan senjata pembunuhan dan mengenal pasti motif pembunuhan,” katanya.

Katanya, berdasarkan kecederaan mangsa, polis tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang suspek terbabit dalam kes itu.

Katanya, melihatkan muka mangsa hancur dipercayai ditoreh menggunakan senjata tajam, polis hanya dapat mengenal pasti identiti mangsa menggunakan pengenalan diri di dalam dompetnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment