Thursday, October 14, 2010

Mula

Tiga suspek bebas dengan ikat jamin

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Tiga daripada lima suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain yang tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini, dibebaskan dengan jaminan polis dan mahkamah.

Mereka termasuk seorang peguam yang merupakan adik kepada suspek utama dalam kes itu serta seorang wanita yang sebelum ini dikehendaki polis sebagai saksi, Jesyntha Clarene Isreal .

Menurut peguam kepada suspek itu, Ravi Nekoo, anak guamnya dibebaskan pada pukul 1 petang manakala seorang lagi peguam, M. Manoharan pula mengesahkan Jesyntha Clarence dibebaskan pada pukul 5.30 petang.

"Jesyntha telah bersetuju untuk menjadi saksi dalam perbicaraan akan datang," kata Manoharan ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini.

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam satu kenyataan ringkas dalam laman web sosial Facebook memberitahu, seorang suspek wanita dibebaskan dengan jaminan mahkamah manakala dua lagi suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis.

Pembebasan tiga individu itu menjadikan mereka yang masih ditahan untuk membantu siasatan lanjut adalah dua suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, polis masih meneruskan siasatannya dan keputusan untuk mendakwa mereka atau sebaliknya hanya akan diputuskan apabila reman mereka tamat Jumaat ini.

"Reman mereka sehingga Jumaat ini, kita akan tengok nanti," jelasnya yang tidak mengulas lanjut selepas menghadiri sidang akhbar oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman hari ini.

Mengenai perkembangan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa-mangsa pembunuhan, ujar beliau, polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia.

Jelas beliau, laporan DNA itu bagaimanapun hanya akan didedahkan pada perbicaraan kes kelak yang dijadual pada 16 Disember depan.

Dalam pada itu, Bakri menegaskan, siasatan terhadap suspek-suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, yang dipercayai juga terbabit dalam tiga kes kehilangan individu termasuk ahli perniagaan India, Allal Kathan Muthuraja tetap diteruskan meskipun ada di antara mereka yang telah dituduh di mahkamah hari ini.

Selain Allal Kathan, mereka yang dilaporkan hilang adalah ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd. Shafik Abdullah dan seorang rakannya.

No comments:

Post a Comment