Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Friday, October 15, 2010
Lambai
Menjerit, lambai minta tolong
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
2010/10/15
KAMPAR: “Saya mendengar pemandu kereta itu menjerit minta tolong beberapa kali sambil melambai-lambai, namun terkilan kerana tak dapat mengeluarkannya kerana api marak terlalu cepat dan dia tersepit di tempat duduk.
HANGUS...anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang rentung.
“Tak lama kemudian, suaranya makin perlahan dan dia rentung bersama empat penumpang kereta dipandunya,” kata Shahari Ishak, 64, saksi kemalangan yang mengorbankan enam nyawa, lima daripadanya rentung di Kilometer 30.1 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di sini, awal pagi semalam.
Shahari antara saksi terawal yang berada di tempat kejadian dan sempat mengeluarkan seorang penumpang dari kereta Honda City yang dinaiki enam orang itu, namun terkilan kerana hanya mampu melihat lima yang lain rentung dijilat api.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, pemandu dan lima penumpang kereta terbabit terbunuh kerana penumpang yang dikeluarkan Shahari meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kampar (HK).
Enam mangsa membabitkan empat lelaki serta dua wanita dan kejadian berlaku selepas kereta dinaiki mereka dari Kampar ke Ipoh hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok lalu terbakar.
Lima mangsa yang rentung ialah pemandu, Lim Ka Wan, 20, serta penumpang; Tong Wai Leong, 18; Yap Hing Long, 20, Wong Chee Keong, 23, dan Soo Poi Wan, 18.
Foo Siew Ling, 23, pula meninggal dunia di Hospital Kampar pada jam 4.50 pagi akibat parah di bahu, tangan dan rusuk kanan. Wong dan Foo adalah suami isteri.
Shahari yang tinggal berdekatan tempat kejadian berkata, dia sempat menarik keluar seorang penumpang di tempat duduk penumpang, namun gagal mengeluarkan mangsa lain kerana api marak cepat serta keadaan semua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing.
“Sebelum kemalangan, saya terdengar dentuman kuat diikuti bunyi bising orang meminta tolong. Sebaik keluar rumah, saya lihat sebuah kereta dijilat api selepas merempuh sebatang pokok di tepi jalan dan ada enam orang dalam kenderaan itu,” katanya ketika ditemui.
Menurut Shahari, dia masih tidak dapat melupakan kejadian itu, malah suara mangsa meminta tolong masih terngiang-ngiang di telinganya.
Katanya, laluan terbabit sering berlaku kemalangan sebelum ini memandangkan jalan berkenaan lurus dan luas menyebabkan pengguna jalan raya sering memecut.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh, berkata ketika kejadian semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kampar ke Ipoh bagi menemui seorang rakan mereka di sana selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di pekan ini.
“Difahamkan, Wong dan Foo sudah mendaftar perkahwinan mereka, tapi belum sempat mengadakan majlis perkahwinan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan menghala Ipoh serta dipandu laju sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh sebatang pokok lalu terbakar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zainuddin Mat Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit.
Beliau berkata, sepasukan 19 anggota bersama tiga jentera termasuk satu dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba, kami dapati kereta terbabit sudah terbakar. Seorang mangsa berada di luar kenderaan selepas dikeluarkan orang ramai manakala lima yang lain terperangkap dalam kereta yang dijilat api.
“Kami mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengawal kebakaran sebelum memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam tempoh setengah jam,” katanya.
Menurutnya, mangsa pertama yang rentung dikeluarkan daripada kenderaan pada kira-kira jam 3 pagi dan mayat terakhir dikeluarkan jam 5.05 pagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment