Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Friday, October 15, 2010
Jangan Main Dengan Tali
Pelajar mati terjerut wayar
oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my
WAYAR pada tiang hadapan rumah ini dipercayai telah menjerut leher S. Agunan di Taman Sri Bistari, Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.
NIBONG TEBAL 14 Okt. - Seorang pelajar lelaki ditemui mati dalam keadaan bogel selepas terjerut dengan wayar elektrik di rumahnya di Taman Sri Bistari di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam, S. Agunan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di sini dikatakan tergelincir sebelum lehernya terjerut dengan wayar yang terikat di pagar rumahnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, ketika kejadian Agunan sedang bermain- main menggunakan wayar tersebut yang terikat di tiang pagar rumahnya sementara menunggu untuk mandi.
"Dia yang hanya memakai tuala tiba-tiba tergelincir sebelum lehernya terjerut pada wayar yang berjuntai di pagar itu.
"Akibat jerutan itu, dia mati di tempat kejadian dan hasil siasatan, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Shafien memberitahu, sewaktu ahli keluarganya menyedari kejadian itu, ia sudah terlambat kerana mangsa sudah meninggal dunia.
Sementara itu, ibu mangsa, V. Amirtha, 40, berkata, ketika kejadian hanya dia bersama seorang lagi anaknya iaitu kakak mangsa berada di rumah kerana suaminya keluar bekerja manakala tiga lagi anaknya keluar ke pekan.
"Ketika kejadian, anak saya hanya memakai tuala mandi dan saya percaya dia hanya bermain dengan wayar itu dengan membelitnya di leher.
"Mungkin dia cuba tunduk untuk mengangkat tuala mandi yang terlondeh menyebabkan lehernya terjerut secara tidak sengaja.
"Ketika saya keluar dari rumah untuk mencari dia, saya dapati Agunan sudah terkulai di tepi pagar dengan lehernya terjerut wayar elektrik," katanya.
Katanya, wayar berkenaan berada di situ kerana ia masih dalam proses pemasangan elektrik.
Mayat Agunan dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengkebumian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment