• Aidilfitri penuh kepiluan Norhakikah dan Muhammad Nur Ridzwan kini tinggal bersama datuk dan nenek mereka, Hashim dan Zamah yang kini tinggal di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.
1 / 3
Sambutan Aidilfitri tahun ini mencetuskan kepiluan dalam hati dua beradik lebih-lebih lagi ia adalah sambutan pertama tanpa insan tersayang.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh digambarkan kepada Nor Hakikah Rosli, 14 dan adiknya, Muhammad Nur Ridzwan, 10, yang terpaksa meneruskan hari-hari mendatang.

Tiada lagi riuh rendah ibunya, ZsaZsanomi Hashim, 44, mengejutkan mereka dua beradik untuk bersiap-siap mengenakan baju baru dan serta bau lemang dan rendang ayam yang dimasak ayahnya, Rosli Aliman, 52 di pagi Syawal.

Mengimbas memori indah bersama kedua ibu bapanya, Nor Hakikah yang selesa dipanggil Nor mengakui setiap kali sambut Syawal, ayahnya paling mengambil berat soal keperluan dia dan adiknya.

“Dalam menyediakan juadah di pagi raya, abah paling sibuk kerana dia pandai masak. Malah, abah sudah merancang menyediakan tomyam di pagi raya untuk kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.

“Mak pula walaupun tidak pandai masak. Mak rajin bantu ayah sediakan pelbagai masakan serta mengemas rumah. Sebelum mak ‘pergi’, dia ada meluahkan hasrat untuk memasang langsir baru di rumah kami, Kampung Serapoh, Parit,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan St Bernadette’s Convent itu menceritakan kenangan raya, adiknya yang dipanggil ‘Mat’ hanya menutup muka sekali sekala mengesat air mata berikutan rapat dengan arwah ibunya.

Menurut Nor, kenangan bersalaman kedua ibu bapanya di pagi Syawal meninggalkan kesan mendalam terhadap diri mereka.


Hari meragut kebahagiaan

“Jaga adik dan belajar rajin-rajin,” itulah amanat terakhir yang disampaikan seorang ibu kepada anak sulungnya sebelum terlibat dalam kemalangan jalan raya seminggu sebelum umat Islam menyambut Syawal.

Bebanan yang ditanggung di usia muda, Nor menggalas amanat ibunya untuk terus menjaga dan menyayangi adiknya yang kini tinggal bersama datuk dan neneknya di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.

Mengenang kembali kenangan pahit pada 23 Jun lalu, Nor menerima kehadiran tiga anggota polis bermotosikal ketika sibuk mengemas rumah pada hujung minggu manakala Mat bermain di halaman rumah.

Katanya, dia tidak mahu percaya perkhabaran dari anggota polis yang memberitahu kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan.

“Saya seolah-olah bermimpi. Saya masih harap mak dan abah selama. Saya bayangkan mereka hanya cedera ringan.

“Ketika tiba di Hospital Batu Gajah, terasa diri saya menggeletar apabila kaki menuju ke rumah mayat dan bukan wad kecemasan. Perasaan takut menguasai diri dan akhirnya saya reda,” katanya.

Dalam kemalangan ngeri itu, motosikal yang dinaiki Allahyarham Rosli dan Zsazsanomi terpelanting selepas dirempuh Toyota Hilux ketika dalam perjalanan menuju ke rumah datuk mereka di Kilometer 16.5, Jalan Ipoh – Lumut berhampiran Tronoh.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah termasuk putus kaki. Bagaimanapun, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Mewah, Batu Gajah.


Bukan beban jaga dua beradik

“Bukan beban tetapi penyeri selepas kehilangan dua anak sekali gus dalam tempoh tiga bulan,” demikian kata ibu Allahyarhamah Zsazsanomi, Zamah Yeop, 64, ketika ditanya mengenai kehadiran dua beradik di jagaannya bersama suami, Hashim Mat,
65.

Menurutnya, 2013 merupakan tahun amat sukar apabila anak sulungnya, Zsazsanomi menghadap Ilahi ketika dia baru pulih daripada kehilangan anak ke limanya, Hasbul Hisham, 36, akibat sakit mengejut.

Katanya, pemergian Zsazsanomi amat memilukan kerana anaknya itu dalam perjalanan menemuinya dengan membawa sayuran kampung kegemarannya antaranya jering, pucuk paku, kangkung dan sebagainya.

“Sebelum dia datang, dia ada telefon dalam jam 8 pagi bertanya khabar. Saya sempat pesan padanya untuk berhati-hati kerana mereka naik motosikal,” katanya.

Zamah berkata, kedua-dua anaknya itu sangat rapat dengannya malah, menyenanginya kerana rajin membantu sebelum Aidilfitri.

“Bila rindu dan terkenang, saya akan menemani mereka waktu tidur dan mencium Nor kerana wajahnya saling tidak tumpah macam ibunya,” katanya dalam nada sebak.