Sunday, October 24, 2010

Kawal Kemarahan

Pantau anak marah


KUALA LUMPUR: Ibu bapa harus memainkan peranan penting untuk menyekat pendedahan terhadap keganasan sama ada menerusi televisyen, video dan Internet yang boleh mempengaruhi perilaku anak mereka.

Pakar psikologi Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Amelia Abd Aziz berkata, remaja sememangnya mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar serta akan mengaplikasikan perilaku itu apabila berdepan perkara yang membuat mereka marah.


“Baik remaja mahupun orang dewasa, apabila diselubungi perasaan marah, mereka akan bertindak di luar pemikiran waras sehingga melakukan sesuatu yang buruk tanpa sedar.


“Mereka sedikit sebanyak akan mengikuti perlakuan yang pernah dilihat sebelum ini,” katanya.


Beliau mengulas muka depan akhbar ini semalam yang melaporkan kejadian remaja berusia 14 tahun mati akibat terkena serpihan kaca yang diacukan oleh kakaknya selepas pertengkaran berebutkan alat kawalan jauh televisyen.


Menurutnya, mungkin suspek tidak berniat membunuh mangsa namun apabila berada dalam keadaan marah dan tertekan, dia terdorong untuk bertindak sedemikian.


Katanya, pertengkaran yang berlaku sehingga terjadinya cabar mencabar juga mungkin menyentap kesabaran suspek sehingga bertindak mengacukan serpihan kaca kepada mangsa.


“Keupayaan untuk mengawal kemarahan adalah penting supaya mereka dapat mengendalikan emosi dengan baik.


“Justeru, ibu bapa perlu memahami perilaku anak mereka dan perubahan yang berlaku terhadap tingkah laku mereka perlu dipantau,” katanya.

No comments:

Post a Comment