Friday, October 1, 2010

Jangan Buka Tingkap Kereta


'Tidak musuhi sesiapa'
Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my
2010/10/01

BUKIT MERTAJAM: “Selepas asid mengenai tubuh, pakaian saya cair seperti plastik terbakar manakala kulit bertukar kemerah-merahan sebelum menjadi keputih-putihan.


SARUDIN...harap polis teruskan siasatan.
“Dalam keadaan sakit teramat sangat, saya memandu ke pejabat kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian sebelum meminta bantuan rakan.”

Demikian kata pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Sarudin Mansor, 37, mengimbas kejadian dia disimbah asid pada Julai lalu sehingga mengakibatkan kecederaan parah di muka, kaki dan badan.

Dalam pertemuan kali pertama bersama media selepas kejadian 5 Julai itu, Sarudin berkata dia hanya terfikir menyelamatkan diri selepas disimbah asid oleh lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, dia yang memandu kereta melalui sebuah kedai di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, didatangi seorang lelaki bermotosikal mengetuk cermin tingkap keretanya sebelum menyimbah asid ke arahnya.

Dalam keadaan kelam-kabut itu dia terus memandu kereta sambil berdoa agar terselamat daripada perkara buruk.

“Saya bersyukur kerana asid dicampakkan itu tidak mengenai mata, jika tidak mata kanan saya mungkin buta,” katanya yang ditemui di rumahnya semalam, selepas menerima kunjungan rombongan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) diketuai Presidennya, Omar Osman.

Turut hadir, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri.


Sarudin berkata, ketika kejadian dia baru 11 bulan bertugas di Unit Kompaun, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Wilayah Utara selepas dipinjamkan daripada JPJ Kedah.

“Sepanjang bertugas sama ada di LPKP atau JPJ, saya tiada musuh, malah tidak menerima sebarang ugutan. Sehingga hari ini, saya tak tahu mengapa menjadi sasaran,” katanya yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah, selama 51 hari.

Sehingga kini Sarudin masih mendapatkan rawatan susulan tiga hari sekali di Hospital Seberang Jaya dan sekali seminggu di HSB.

Disebabkan kejadian itu, isterinya, Junainah Abdul Kadir, 36, yang bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, terpaksa mengambil cuti separuh gaji selama tiga bulan menguruskan diri dan anak.

Bapa kepada empat anak berusia antara satu hingga sembilan tahun itu berkata, kejadian terbabit tidak mematahkan semangatnya untuk menjalankan tugas, malah tidak sabar kembali bertugas di pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya selepas permohonan pertukarannya diterima.

“Pada 4 Oktober ini saya akan melaporkan dirinya, namun tidak tahu bila boleh mula bekerja sehingga diberitahu doktor,” katanya yang berharap polis meneruskan siasatan kes itu.

Sementara itu, Omar berharap kerajaan dapat menyediakan insurans khas kepada penjawat awam khususnya yang terbabit dalam penguat kuasaan undang-undang bagi menjamin kebajikan mereka apabila terbabit dalam kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment