Warga emas maut terkena batu
PULAU PINANG 24 Okt. – Seorang warga emas mati selepas ditimpa batu yang dipercayai dicampak dari tingkat atas Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini, petang semalam.
Kejadian pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu sedang menunggu pelanggan di kawasan berhampiran jalan utama di bahagian bawah bangunan tersebut
Mangsa dipercayai telah mengusahakan perkhidmatan ‘teksi sapu’ sejak lima hingga enam tahun lalu di sekitar kawasan perumahan berkenaan.
Seorang saksi, Mohd. Zulkarnain Mohd. Abu Salleh, 21, berkata, ketika kejadian dia sedang berbual bersama kakak dan ibunya berhampiran kawasan mangsa berdiri.
‘‘Tiba-tiba saya melihat seketul batu jatuh dari tingkat atas dan mengenai kepala mangsa. Sebaik sahaja terkena batu itu mangsa terus rebah dan darah keluar membuak-buak dari kepalanya.
‘‘Saya dan ibu serta beberapa orang yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan menekup darah di kepalanya menggunakan kain. Namun, kira-kira lima minit selepas itu, saya cuba memberikan bantuan kecemasan, tetapi nadinya telah tiada,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian.
Menurut Mohd. Zulkarnain, apa yang dikesalkan ialah beg dan telefon bimbit milik mangsa telah dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab ketika dia dan ibunya mencari kain untuk digunakan menekup kepala mangsa.
Katanya, dalam keadaan mangsa yang ‘nyawa-nyawa ikan’ itu masih ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan berkenaan.
No comments:
Post a Comment