Friday, October 15, 2010

Ribut

Suruh isteri peluk anak ketika ribut


2010/10/15

LANGKAWI: Seorang lelaki hanya mampu menjerit meminta isterinya memeluk anak lelaki mereka dan terus berada dalam rumah apabila ribut menerbangkan bumbung rumah mereka di Kampung Sungai Menghulu di sini, kelmarin.

Muhd Yani Yahya, 31, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, isterinya, Maria Johari, 28, cedera di siku manakala anak lelaki mereka, Mohd Adam Haris, berusia setahun sembilan bulan masih terkejut.

“Ketika kejadian, saya berada di luar rumah sebelum terdengar bunyi angin kuat menghala ke arah rumah. Pada masa sama, saya lihat bumbung rumah bergegar sebelum tercabut diterbangkan angin.


“Melihat keadaan tidak terkawal, saya menjerit meminta isteri memeluk anak kami dan jangan bergerak kerana bimbang dihempap bumbung dan atap zink,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.


Menurutnya, ketika kejadian dalam hujan renyai-renyai itu, isterinya meriba anak tunggal mereka sambil menonton televisyen di ruang tamu.


Katanya, kerugian dianggarkan RM10,000 dan mereka sekeluarga kini terpaksa menumpang sementara di rumah saudara-mara.


Penduduk lain, Noor Shaharudin Hashim, 45, berkata kejadian itu berlaku sekelip mata ketika kebanyakan suri rumah baru selesai menyiapkan juadah makan malam dan solat Isyak.


“Ini kali pertama saya lihat ribut teruk sejak lebih 10 tahun menetap di kawasan ini yang turut menumbangkan beberapa pokok besar, talian elektrik tiba-tiba terputus serta bumbung rumah melayang di udara.


“Habis semua peralatan elektrik basah dan rosak. Bumbung tercabut menyebabkan air hujan membasahi sebahagian rumah,” katanya yang tinggal bersama isteri, Rosyamsinar Ibrahim, 38, dan lima anak.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pemuda Umno bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan antara pemimpin masyarakat terawal tiba di kawasan kejadian dan menghulurkan bantuan kepada semua mangsa.


Nawawi berkata, selain dua keluarga terbabit, terdapat lima keluarga lain dari kampung sama, dua keluarga di Kampung Perana dan tiga di Kampung Belak, Mukim Kedawang turut menghadapi bencana alam itu.


“Keseluruhan kerugian membabitkan 12 keluarga itu dianggarkan mencecah lebih RM50,000. Kita sudah menghubungi pihak berkaitan termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) untuk membantu,” katanya.

No comments:

Post a Comment