'Kami ingat gempa bumi'
2010/10/15
KUANTAN: “Kami sangkakan gempa bumi apabila terdengar bunyi seperti bangunan runtuh diikuti gegaran kuat sejurus selepas angin kencang.
“Namun selepas diperiksa baru kami sedar yang bahagian dapur rumah kami dihempap dahan pokok besar yang patah,” kata pesara tentera, Kamaruzaman Malik, 45, selepas rumahnya di Kampung Baru, Beserah, di sini, dihempap dahan pokok dalam kejadian angin kencang, malam kelmarin.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 malam ketika dia dan isterinya, Noraini Laila, 35, sedang menonton televisyen sementara dua anaknya, Nor Effah, 14, dan Nor Fatini, 10, tidur di bilik masing-masing.
“Kebiasaannya saya dan isteri melakukan kerja membungkus roti di dapur dan kadang kala dibantu anak-anak sebelum menghantarnya ke beberapa kedai keesokan harinya.
“Namun kami sekeluarga bernasib baik kerana tidak berada di dapur ketika kejadian itu memandangkan kami menyiapkan kerja berkenaan lebih awal,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, dia tergamam selepas melihat dahan pokok menghempap bahagian dapur rumahnya sebelum menghubungi talian kecemasan dan memuji tindakan pantas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang datang memotong dahan berkenaan.
Katanya, akibat kejadian itu, bumbung serta siling di bahagian dapur rumahnya rosak teruk menyebabkannya kerugian RM5,000.
“Namun saya masih bernasib baik apabila mesin membuat roti dan ketuhar serta beberapa barangan elektrik lain termasuk peti sejuk dapat diselamatkan daripada terkena air hujan.
“Jika tidak, tentu saya akan menanggung kerugian yang lebih besar malah saya lega apabila tiada kejadian lebih buruk berlaku dan semua ahli keluarga selamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment