Tuesday, October 12, 2010

Lagi Kisah Tragedi Bas

‘Rasa bagaikan kacang dalam botol yang digoncang’

SEREMBAN 11 Okt. – Para penumpang bas Ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini semalam sehingga meragut 12 nyawa, menganggap perjalanan mereka itu umpama `kacang dalam botol yang digoncang’.

Itu gambaran yang diberikan mereka untuk menunjukkan betapa cemas dan ngerinya berada dalam bas ekspres bernombor pendaftaran WQM 7333 sebaik sahaja ia melambung, terhempas dan merempuh beberapa kenderaan lain.

Menurut beberapa orang penumpang bas itu yang terselamat, kebanyakan daripada mereka yang ketika itu sedang tidur dilihat melambung keluar dari bumbung bas yang pecah, selain beberapa lagi tersepit apabila bas itu terhempas.

Salah seorang yang terselamat, Tew Chi Ling (gambar), 18, berkata, dia tidak bermimpi mahupun tertidur, sebaliknya melihat setiap detik yang berlaku itu.

Menurut pelajar jurusan Hiasan Dalaman di Kolej Bandar Utama (KBU) itu, dia kini berada dalam keadaan trauma dan terkejut kerana sempat menyaksikan keseluruhan detik-detik cemas, ketika kemalangan berlaku.

“Saya lihat bas itu cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal dan ia itu mula terhoyong-hayang kemudiannya melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.

“Saya nampak ramai penumpang bergelimpangan di atas jalan raya dan ada juga yang tersepit di dalam bas. Saya lihat, bas itu sudah dipenuhi darah manusia.

“Ada yang meraung kesakitan, ada yang sudah tidak bersuara lagi. Ada pula yang patah, cedera di kepala. Saya cuba membantu, tetapi tidak berdaya,” katanya.

Dia sedih kerana banyak suara yang meminta tolong dari dalam bas yang remuk itu, apatah lagi terkejut dengan jeritan tanpa henti kebanyakan penumpang.

Dia bersama seorang rakan kolej, Tai Hi Teng terselamat dalam kejadian itu , namun masih dirawat di Wad Pembedahan, Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kerana mengalami luka di beberapa bahagian badan

Seorang lagi penumpang, Nur Najlaa Aquilah Mohd Ghazali, 19, yang cedera di pergelangan tangan kirinya berkata, dia berada dalam keadaan separuh sedar dan pening kerana bas itu berpusing dan terhoyong-hayang.

“Saya terhantuk dan kepala pening sebaik sahaja bas yang dinaiki ini terbabit dalam kemalangan. Apabila saya sedar, saya lihat pakaian saya dibasahi dengan darah,” katanya.

Dia menambah, ramai penumpang yang mengerang kesakitan dan ada juga yang merangkak keluar dari bas yang sudah remuk.

“Saya menangis apabila melihat darah banyak mengalir dari pergelangan tangan,” kata pelajar tahun pertama, jurusan Kejuruteraan Komputer Universiti Malaya (UM).

Liow Sin Ren, 23, pula berkata, dia tidak sedar apa yang berlaku kerana tidur dan hanya menyedari apabila bas sudah terbalik.

“Bila saya sedar, seluruh badan terasa sakit. Saya buka mata perlahan-lahan dan terkejut apabila bumbung bas itu sudah tercabut,” katanya yang mengalami keretakan pada tulang hidung dan pipi.

No comments:

Post a Comment