Friday, October 1, 2010

Berhati-Hati Dengan Lif



'Macam gempa'
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/10/01

PETALING JAYA: “Seluruh bangunan pangsapuri 18 tingkat ini bergegar kuat seperti gempa bumi sejurus lif berkenaan terhempas jatuh diikuti dengan bunyi letupan,” kata salah seorang pelajar, Mohd Taqiuddin Ali, 15, yang kebetulan menunggu di hadapan pintu lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat sembilan pangsapuri berkenaan, semalam.


TEGANG...beberapa penduduk hilang sabar sebelum mencabar pihak pemaju.

KUGAHAN...patah dua tulang kaki kanan Menurutnya, dia yang tergamam dengan kejadian itu mampu mendengar bunyi jeritan dan rintihan mangsa yang ketika itu masih terperangkap di dalam lif.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, sepasang suami isteri dan dua pelajar cedera selepas lif dinaiki mereka untuk pulang ke unit rumah masing-masing terhempas di tingkat bawah Blok A, Pangsapuri Impian Baiduri.

“Ketika itu beberapa penghuni pangsapuri yang terkejut dengan bunyi dentuman itu segera turun sebelum berusaha mengumpil pintu lif berkenaan.

“Sebaik pintu lif terbabit dibuka, saya melihat beberapa mangsa bergelimpangan kesakitan dalam lif dan seorang pelajar sekolah perempuan terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, dia sempat melihat salah seorang mangsa adalah guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Utama yang dikenali sebagai Cikgu Zarina.


“Dia dipercayai patah pinggang didukung suaminya keluar dari lif, sebelum dibaringkan di lantai ruang legar di hadapan lif terbabit.

“Lelaki terbabit yang juga suami kepada Cikgu Zarina turut mendukung pelajar perempuan tingkatan satu bernama Azizah keluar. Keadaan menjadi kelam-kabut berikutan orang ramai berpusu-pusu melihat apa yang berlaku,” katanya.



Menurutnya, seorang lagi mangsa yang juga pelajar lelaki tingkatan dua turut patah pergelangan kaki.

“Tidak berapa lama kemudian ambulans dan jentera bomba dan penyelamat Petaling Jaya muncul sebelum semua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Pangsapuri Impian Baiduri, Tambi Chik Hassan, 45, berkata, kejadian lif rosak di pangsapuri Blok A kerap kali berlaku hingga menyukarkan kehidupan harian 1,000 penduduk.

Menurutnya, walaupun terdapat tiga lif di pangsapuri berkenaan, namun hanya dua lif berfungsi manakala satu lagi lif digunakan sebagai stor mengisi perkakas kontraktor.

“Bagaimanapun lif berkenaan kerap kali rosak walaupun pihak pemaju mendakwa ia baru diselenggara. Keadaan lif uzur berikutan lampu dan alat penghawa dinginnya tidak berfungsi.

“Sering kali lif berkenaan berhenti tanpa sebab mengakibatkan penduduk terperangkap di dalamnya. Lebih menakutkan apabila lif berkenaan kerap menggelungsur ke bawah secara mendadak menyebabkan pengguna di dalamnya ketakutan,” katanya.

Menurutnya, kejadian kemalangan yang hampir meragut empat nyawa penduduk pangsapuri itu kemuncak kepada kebimbangan yang selamanya menghantui penduduk.

“Saya kesal apa yang berlaku berikutan setiap rumah membayar hampir RM50 sebulan bagi kos penyelenggaraan pangsapuri terbabit. Malangnya hak kami diabaikan termasuk keselamatan anak kami,” katanya.

Menurutnya, kejadian terbabit dianggap pelik berikutan pihak pemaju mendakwa lif terbabit baru diselenggara lima hari lalu.

Sementara itu, keadaan menjadi panas apabila beberapa penduduk tidak dapat menahan sabar mengamuk dan meminta pemaju memberi jawapan bernas.

No comments:

Post a Comment