Ibu mahu pembunuh anak dihukum gantung
BATU PAHAT 14 Okt. - "Ada ubi ada batas, ada budi ada balas, anak kita dibunuh dia itu juga dibunuh."
Itu luahan Yatimi Abdul Rahman , 80, ibu kepada jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang disahkan polis, mati dibunuh dengan kejam.
Warga emas itu mahu mereka yang bertanggungjawab membunuh anaknya mendapat pembalasan yang sewajarnya iaitu dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Yatimi juga amat kesal dengan tindakan kejam pihak yang sewenang-wenangnya bertindak mencabut nyawa anak kesayangan yang menjadi tonggak dalam keluarganya.
"Anak orang kenapa dimatikan. Apa dia ingat dia Tuhan ke apa," luahnya dalam kekecewaan di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini hari ini.
Sementara itu, adik Sosilawati, Rosnani, 45, berkata, penduduk kampung akan mengadakan solat kesyukuran sebagai tanda syukur selepas pihak berkuasa mendakwa empat lelaki berhubung kes pembunuhan Sosilawati.
"Kami sentiasa mengadakan solat hajat sebelum ini dan hari ini, kami akan melakukan solat kesyukuran kerana kes pembunuhan itu kini dibawa ke mahkamah," katanya.
Rosnani berkata, keluarganya berharap pendakwaan kes bunuh Sosilawati akan berjalan dengan lancar.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Sri Menanti, Omar Salleh berkata, penduduk kampung mengerjakan solat hajat setiap minggu bagi memudahkan pihak berkuasa menemui jutawan kosmetik tersebut, sejak berita kehilangannya disiarkan media.
"Apabila Sosilawati dilaporkan dibunuh, penduduk tetap mengerjakan solat hajat bagi memudahkan siasatan dan berdoa agar mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.
No comments:
Post a Comment