Ini rasanya mangsa ke4
Bayi maut tercekik minum air suam dalam botol susu
KUALA LUMPUR 1 Okt. - Seorang bapa tidak menyangka tindakannya meninggalkan bayinya berusia lima bulan minum sendirian menggunakan botol susu mengakibatkan anaknya itu meninggal dunia akibat tercekik.
Kejadian berlaku pukul 1.30 petang di Seksyen 2 Wangsa Maju di sini, semasa lelaki itu menjaga Hadif Hameedullah Mohd. Najib dan seorang lagi anaknya semasa ketiadaan isterinya di rumah.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mengikut laporan polis dibuat bapa mangsa yang merupakan peniaga, dia mulanya memberi bayinya susu menggunakan botol susu.
"Selepas itu, bapanya yang berusia 29 tahun memberi pula air suam menggunakan botol susu dan membiarkan bayi tersebut minum bersendirian sebelum dia tertidur.
"Selepas terjaga, bapa mangsa mendapati anaknya tidak bergerak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, ketika bapa mangsa mengangkat botol itu dia mendapati mulut bayi tersebut berwarna biru dan terdapat air mengalir dari mulutnya.
"Bapanya selepas itu bertindak membawa bayi berkenaan ke Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tuanku Mizan di sini sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat lemas ketika minum air," ujarnya.
Menurutnya, jenazah bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sebelum dituntut keluarganya.
No comments:
Post a Comment