Maut ketika tukar tayar pancit
KUALA LUMPUR 24 Okt. - Seorang isteri tidak menyangka tindakan suaminya menukar tayar kereta mereka yang pancit mengundang padah apabila dia maut akibat dilanggar oleh sebuah kereta di Kilometer 17.8, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) menghala ke Bandar Sunway di sini awal pagi ini.
Mangsa, Tan Tong Jin, 44, maut ketika sedang menukar tayar hadapan sebelah kiri kereta Proton Iswara miliknya yang pancit sebaik sahaja melepasi tol di PJS 2, kira-kira pukul 5.45 pagi.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan memberhentikan kenderaannya di tengah-tengah laluan plaza tol tersebut kerana lokasi itu lebih terang.
Difahamkan, isteri mangsa berada di dalam kenderaan mereka manakala Tong Jin menukar tayar keretanya seorang diri.
Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd. Firdaus Razak berkata, sebuah kereta Perodua MyVi warna perak yang melalui tol itu tiba-tiba merempuh mangsa dari belakang.
"Berikutan rempuhan kuat itu, mangsa tercampak sejauh 20 meter. Bagaimanapun, selepas melanggar mangsa, pemandu kereta MyVi itu terus memecut keretanya dan meninggalkan mangsa yang terbaring di atas jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Firdaus, mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah selain pendarahan teruk di kepala dan badan.
"Setakat ini, pemandu kereta MyVi terbabit masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.
Mayat Tong Jin dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian menghubungi Balai Polis Trafik Petaling Jaya di talian 03-79662222/2268 bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment