Mohd. Hilmi buat laporan polis nafi larikan Rozaliya
KUANTAN 19 Okt. - Tunang kepada seorang gadis, Rozaliya Mat Lazim, 20, yang hilang ketika membeli-belah barangan persiapan perkahwinannya di sini minggu lalu, hari ini menafikan dakwaan dia melarikan bakal isterinya itu.
Mohd. Hilmi Mohd. Nor, 24, juga menolak andaian kononnya dia mempunyai krisis besar dengan tunangnya itu sehingga menyebabkan Rozaliya menghilangkan diri.
"Pada hari kejadian, saya mengambil Rozaliya dan menghantarnya ke pasar raya Mydin di sini untuk membeli barang sebagaimana diminta sebelum kembali bertugas.
"Bagaimanapun, pada pukul 3.28 petang, saya menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripadanya menyatakan dia diekori dua lelaki. Apabila saya bergegas ke sana, saya dapati tunang saya sudah tiada," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.
Mohd. Hilmi yang bekerja sebagai penyelia tanah rancangan Felda Neram 2 hadir di IPD Kuantan bersama bapanya, Mohd. Nor Juah, 53, untuk memberi keterangan berhubung kehilangan Rozaliya.
Semalam, akhbar melaporkan mengenai kehilangan Rozaliya yang berasal dari Bandar Baru Cheneh, Kemaman, Terengganu semasa keluar membeli barangan keperluan perkahwinannya di sebuah pasar raya di sini pada 13 Oktober lalu.
Mangsa dijemput Mohd. Hilmi kira-kira pukul 11 pagi di rumahnya di Kemaman dan dipercayai hilang selepas menghantar SMS berbaur cemas kepada tunangnya.
Mohd. Hilmi memberitahu, dia juga bingung dan tidak tahu di mana tunangnya kini berada.
Sementara itu, Mohd. Nor turut menafikan sekeras-kerasnya anaknya terlibat melarikan Rozaliya, bahkan dia turut bertungkus- lumus mencari tunang anaknya itu hingga ke Batu Berendam, Melaka.
Mohd. Nor yang bekerja sebagai pemandu lori memberitahu, dia tampil membuat kenyataan di IPD kerana terkejut dengan laporan sebuah akhbar yang mendakwa anaknya disyaki terlibat melarikan tunangnya itu.
"Anak saya tidak melarikan Rozaliya sebaliknya dia pulang ke rumah kami di Kampung Sebatu, Pagoh di Johor kerana kami bersama-sama berusaha siang dan malam mencari Rozaliya di Batu Berendam.
"Ini kerana kelmarin, ibu Rozaliya ada berhubung dengan kami dan memberitahu anaknya mungkin dilarikan seorang pemuda dari Batu Berendam bernama Amir yang begitu menyukainya," jelasnya.
Dalam perbualan itu juga, Mohd. Nor dimaklumkan bahawa pemuda itu sudah lama menyukai Rozaliya dan pernah ke rumah keluarga bakal pengantin itu tidak lama dahulu.
"Difahamkan, Amir yang belajar di sebuah institut pengajian tinggi dan tinggal di Batu Berendam begitu tergila-gilakan Rozaliya.
"Jadi kami sekeluarga berpakat untuk mengesannya di merata tempat di sana tetapi malangnya sehingga kini tidak mendapat sebarang petunjuk," katanya.
Mohd. Nor juga menjelaskan, anak sulungnya itu tidak dapat dihubungi oleh keluarga pihak bakal pengantin perempuan berikutan di kawasan rumahnya tiada talian telefon dan bukan kerana cuba melarikan diri.
"Mohd. Hilmi tidak ke mana-mana tetapi ada bersama kami mencari Rozaliya. Disebabkan mencari tunangnya juga, dia tidak dapat bekerja hingga kami terpaksa menerangkan hal sebenar kepada majikannya," katanya.
Berikutan itu, kata Mohd. Nor, dia sekeluarga sanggup datang dari Johor ke IPD di sini untuk membuat laporan polis bagi menafikan spekulasi tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi kerana ia boleh memesongkan fakta kes dan menyukarkan polis membuat siasatan.
No comments:
Post a Comment