Monday, October 11, 2010

Alahai Bas Express





Menyayat hati
Oleh Meor Reduan Ahmad, Mohd Nur Asnawi Daud dan Iskandar Shah Mohamed
am@hmetro.com.my
2010/10/11

REMBAU: “Saya melihat ada mayat tanpa kepala dan ada yang putus tangan sebaik turun dari bas selepas kemalangan. Keadaan begitu tragis kerana banyak mayat bergelimpangan,” kata Bohari Saikon, 48, saksi kemalangan ngeri menyebabkan 12 kematian membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Pedas, petang semalam.


DAHSYAT...keadaan kereta yang dihempap bas ekspres.
sebelum - selepas



REMUK...bas JKM yang terbabit kemalangan, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, Bohari dan 43 rakannya yang juga bekas tentera menaiki bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis perhimpunan raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Bukit Jalil, jam 2.30 petang.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah bas ekspres dari Melaka tiba-tiba terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum merempuh tiga kereta, sebuah van dari arah bertentangan termasuk bas dinaikinya.

“Bas ekspres itu terbalik merentangi jalan. Pemandu bas yang saya naiki juga parah akibat rempuhan bas terbabit yang mengenai bahagian pemandu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, sebaik kejadian, dia dan rakannya turun dari bas untuk membantu menyelamatkan penumpang yang selamat.

“Keadaan begitu menyayat hati apabila saya lihat banyak mayat bergelimpangan. Saya tidak dapat pastikan mangsa yang terbunuh itu menaiki kenderaan apa kerana keadaan bas ekspres, tiga kereta dan van itu remuk.

“Kami hanya membantu mereka yang cedera dan mengeluarkan mangsa yang tersepit. Mangsa yang selamat dan berjaya dikeluarkan dibawa ke tepi lebuh raya sebelum kami meminta bantuan kereta yang lalu untuk menghantar mangsa ke Hospital Melaka.

“Kami tidak berani mengangkat mayat kerana keadaan kecederaan pada mayat yang mengerikan. Setakat yang saya tahu, kebanyakan mangsa lelaki. Mungkin mereka ini penumpang bas ekspres berkenaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, setakat ini, sembilan mangsa dikenal pasti lelaki manakala selebihnya wanita.

Katanya, polis belum dapat mengenal pasti identiti semua mangsa dan jenis kenderaan yang mereka naiki ketika kemalangan. Ini kerana mayat berkenaan bergelimpangan di atas jalan dipercayai tercampak sejurus selepas kejadian.

“Semua mayat dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat. Siasatan awal mendapati bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Kuala Lumpur,” katanya.

Pegawai Operasi Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Yusof Samad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.07 malam sebelum menghantar satu jentera ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba di tempat kejadian walaupun terletak kira-kira 20 kilometer berikutan kesesakan teruk lalu lintas sepanjang tiga kilometer,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menerima bantuan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin.

No comments:

Post a Comment