Thursday, May 17, 2012

tungggu dihalau

Hanya tunggu masa dihalau
IZWAN ROZLIN
16 Mei 2012
Hanya tunggu masa dihalau
Fadzil (kanan) dan Amir menyerahkan sumbangan untuk keluarga Mazlina.
DAMANSARA – Sebuah keluarga ketika ini hanya mampu menghitung hari diarah berpindah oleh tuan rumah selepas gagal membayar tunggakan sewa rumah berjumlah RM2,000.

Ibu kepada enam anak itu, Mazlina Ibrahim, 30, berkata, dia kini hanya berharap pada bantuan zakat sebanyak RM350 sebulan dan pendapatan daripada mengasuh kanak-kanak.

Katanya, selain menyara lima anak yang bersekolah, dia turut menjaga ibunya yang terlantar sakit.

Menurutnya, tambah memeritkan apabila dia diberitahu bahawa bantuan zakat yang diterimanya akan dihentikan bulan hadapan.

“Suami pula baru keluar dari Pusat Serenti dan sedang berusaha mencari pekerjaan dan pendapatan utama keluarga ketika ini hanya bergantung kepada saya,” katanya ketika lawatan Presiden Ikatan Insan Muslim Malaysia (Irrim) Amir Amsa Alla Pitchay dan Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desma) Mohd Fadzil Abdullah, ke rumahnya di Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara, semalam.

Menurutnya, setakat ini perbelanjaan harian ibunya kadangkala mencecah RM20 sehari termasuk keperluan lampin, ubatan dan makan minumnya.

“Lepas ini kalau kena keluar dari rumah ini terpaksalah kami sekeluarga merempat duduk bawah jambatan,” katanya.

Menurutnya, dia kini dalam usaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia tertangguh disebabkan motosikal di tarik pihak bank kerana gagal membayar ansuran tertunggak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Mazlina Ibrahim Maybank 164397975971 atau hubungi 010-4305474.

No comments:

Post a Comment