Nayati tidak trauma - Bapa
Sebaliknya, pelajar sekolah antarabangsa berusia 12 tahun itu bersikap seperti biasa dan boleh menyanyi serta menari bersama keluarga.
Bapa mangsa, Shamelin Moodliar, 41, berkata, anaknya tidak kelihatan seperti dibelenggu dengan kejadian itu kerana masih bersikap seperti biasa.
"Malah dia pergi dan pulang dari sekolah seperti biasa, seolah-olah tiada apa berlaku serta perlu ditakuti.
"Kami sekeluarga juga membuat keputusan untuk terus tinggal di negara ini kerana Malaysia adalah sebuah negara unik dan kami sayangkannya," katanya pada sidang akhbar di Mutiara Damansara, di sini hari ini.
Turut bersama dalam sidang akhbar itu ialah ibu Nayati, Janice Smith, 40, manakala Nayati tidak hadir pada sidang akhbar itu.
Shamelin Moodliar memberitahu, dia tidak melihat kejadian menimpa anaknya sebagai penculikan tetapi ia sebuah kisah yang memaparkan kerjasama dalam kalangan rakyat negara ini.
"Kejadian ini menunjukkan perhubungan antara sesama rakyat yang tidak mengira warna kulit, bangsa dan agama, malah ia juga menunjukkan kasih sayang rakyat Malaysia yang tidak henti cuba mengesan Nayati.
"Berikutan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bekerja selama tujuh hari tanpa henti bagi memastikan Nayati pulang dengan selamat," katanya.
Ketika ditanya mengenai wang tebusan, keluarga Nayati enggan menjawab dengan memberitahu, ia tidak penting untuk dibincangkan.
Nayati yang berpakaian seragam sekolah dilaporkan hilang dipercayai diculik oleh dua lelaki tempatan ketika berjalan kaki berseorangan ke sekolahnya.
Seorang saksi dikatakan melihat kanak-kanak itu ditarik oleh dua lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta Proton Gen-2 berwarna hitam.
Kehilangan Nayati mendapat liputan luas media massa dan menarik perhatian ramai pihak yang bimbang terhadap keselamatannya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melalui Twitternya menyeru orang ramai membantu mengesan kanak-kanak itu.
No comments:
Post a Comment