Thursday, May 17, 2012

lanun suruh terjun laut

 

Anak kapal: Umpama mati hidup semula

16 Mei 2012
Anak kapal: Umpama mati hidup semula
Anak Kapal Wantas 6, Yusseri Yusof melepaskan rindunya terhadap anaknya, Muhammad Yasin, 16 bulan, dan isteri, Nor Adilla Zulkifli serta ibunya Puteh Chin (kanan) sejurus tiba d
SEPANG - Empat daripada tujuh anak kapal menganggap diri mereka umpama mati hidup semula selepas menempuh detik cemas selama 10 hari apabila kapal mereka yang membawa kontena muatan peralatan penjanaan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dirampas lanun di perairan Laut China Selatan pada 17 April lepas.
Mereka yang ditemui sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini malam ini dari Bandaraya Ho Chi Minh, menyifatkan ia sebagai pengalaman amat mengerikan kerana ditahan lanun yang membawa pelbagai senjata, diacukan parang selain turut mencederakan mereka.
Kelasi kapal Yusseri Yusof, 24, berkata mereka yang berkhidmat dengan Wantas Shipping Sdn Bhd bertolak dari Langkawi pada 12 April lepas, sebelum kapal dirampas lanun pada 17 April.
"Kami kemudiannya dicampakkan ke laut dan hanya diberikan bot kecil. Tidak boleh bayangkan betapa dahsyatnya keadaan itu kerana kami dicampak ke laut yang boleh dianggap sebagai "kubur".
"Selama 10 hari kami di tengah lautan berpanas dan berhujan dengan hanya memakai seluar pendek kerana pakaian lain juga dirampas. Kami cuma ada sedikit makanan dan air untuk meneruskan hidup," katanya yang juga bapa kepada seorang anak.
Yusseri berkata rakannya Md.Elias Uddin yang berasal dari Bangladesh berenang sehingga empat jam dan akhirnya menemui bot nelayan Vietnam yang menyelamatkan mereka pada 30 April lepas.
Pada 4 Mei, mereka selamat tiba di pantai Phu Yen, Vietnam selepas melalui perjalanan selama empat hari, kata Yusseri.
Selain Yusseri, anak kapal lain yang terselamat adalah Lau Kah Chong, 36, serta rakyat Bangladesh M.Khorshed Alam dan Md Elias Uddin.
Manakala tiga lagi anak kapal rakyat Indonesia telah dihantar pulang ke negara mereka pada 12 Mei lepas, yang hanya dikenali sebagai Damri Marawat Napitupulu, Sholehuddin dan Supardi.
Sementara itu, Lau, 36, mengucapkan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia kerana membawa mereka pulang ke Malaysia dan bersyukur kerana dapat menemui keluarganya kembali.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut sama dalam rombongan misi menyelamat itu berkata misi kali ini dianggap unik kerana berjaya menyelamatkan mangsa dari tiga negara berbeza.
Katanya meskipun syarikat berkenaan mengalami banyak kerugian akibat rampasan itu, beliau berkata apa yang lebih penting adalah keselamatan pekerja mereka.
Anak kapal tersebut dihanyutkan di dalam sebuah bot 214 batu nautika dari Barat Daya Miri, Sarawak berhampiran sempadan perairan Malaysia-Vietnam.
Kapal milik Wantas berpangkalan di Langkawi dipercayai dirampas lanun ketika belayar dari Teluk Ewa, Langkawi ke Tawau, Sabah.
Pasukan penguatkuasa Maritim Filipina menemui kapal kontena itu di perairan negara itu berhampiran Kepulauan Palawan dengan lapan kontenanya dipecahkan manakala semua anak kapalnya hilang.
Susulan itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menemui kesemua anak kapal itu pada 28 April lepas. - Bernama

Seksa 10 hari dicampak lanun

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEPANG: “Pengalaman memang tak boleh dibayangkan, amat dahsyat sebab kami semua memang tahu laut adalah kubur, dan dalam tempoh 10 hari terapung kami cuma makan roti keras dan air yang ada di dalam rakit penyelamat sebagai penyambung nyawa,” kata Yusseri Yusof, 24, kelasi kapal Wantas Shipping Sdn Bhd yang dirampas lanun di perairan Tanjung Datu, Sarawak, 17 April lalu.
Katanya, dalam keadaan sehelai sepinggang mereka bertawakal dan menguatkan semangat walaupun menyedari peluang mereka amat tipis memandangkan semua sudah keletihan dilambung ombak dan terpaksa berpanas serta berembun.

“Nasib baik seorang kawan kami berenang hampir dua batu nautika apabila ternampak bot nelayan, sekali gus menyelamatkan kami semua,”katanya ketika ditemui sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, semalam.

Kepulangan mereka yang tiba dengan menaiki pesawat AK 883 dari Ho Chi Minh, Vietnam disambut Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Turut dibawa pulang seorang lagi anak kapal, Lau Kah Chong, 36, dua warga Bangladesh, M Khorshed Alam dan Md Elias Uddin, sementara tiga lagi warga Indonesia iaitu Damri Marawat Napitupulu, 59, Solehuddin, 31 dan Supardi, 40, sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Akhbar sebelum ini melaporkan tujuh anak kapal membawa janakuasa elektrik diselamatkan Jabatan Penyelarasan Penyelamat Vietnam selepas 10 hari menempuh pengalaman pahit berada dalam rakit penyelamat, apabila bot tunda mereka dirampas lanun di perairan Tanjung Datu, Sarawak pada 17 April lalu.


Kapal milik Wantas Shipping berpangkalan di Langkawi itu dipercayai membawa lapan kontena muatan peralatan penjanaan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai jutaan ringgit.

Mereka ditemui berhampiran Pulau Amboyana Kecil, Vietnam pada 30 April lalu dalam keadaan tidak bermaya selepas gerakan bersepadu membabitkan tiga negara dilakukan sebaik menerima maklumat.

Tongkang mereka ditemui Pasukan Pengawal Pantai Filipina di Cagayancillo di Palawan, Filipina pada 26 April lalu.

Yusseri berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu kapal mengikut haluan yang ditetapkan kapten dan langsung tidak menyedari kehadiran lanun terbabit.

“Saya hanya sedar apabila mereka yang berparang tarik dan pukul kepala, mengacu leher dengan parang selain membuang cermin mata yang dipakai.

“Mereka ramai dan semuanya bertopeng, selepas merampas kapal mereka menyuruh kami terjun ke laut, dan kami menyelamatkan diri dengan menaiki rakit penyelamat yang dicampak lanun itu,” katanya. Sementara ibu Yusseri, Putih Chin, 48 berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia, yang membantu membawa pulang anaknya dengan selamat.

No comments:

Post a Comment