Perogol gadis bawah umur dipenjara 25 tahun
KUALA LUMPUR 26 April - Perbuatan kejam seorang pembantu jualan yang menarik seorang remaja masuk ke dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum merogol mangsa pada tahun lalu, berbalas hari ini apabila pemuda itu dihukum penjara 25 tahun dan sebatan tujuh kali.Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Roszianayati Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 23, bersalah merogol mangsa berusia 15 tahun itu di tepi Jalan Kosas 3/9, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 11 pagi, 11 Mei tahun lalu.
Beliau memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Dalam keputusannya, Roszianayati berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh disifatkan sebagai sangat kejam.
"Mahkamah mengambil kira perbuatannya ketika kejadian yang menunggu mangsa berjalan bersendirian dan menarik gadis itu masuk ke dalam kenderaan berkenaan sebelum dirogol tanpa belas kasihan," katanya.
"Justeru, tertuduh perlu diasingkan daripada masyarakat dan anak-anak gadis di luar sana perlu diselamatkan," katanya.
Khairul Ivan didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Dalam kejadian tersebut, tertuduh didakwa merogol mangsa di dalam MPV jenis Toyota Alphard milik ibunya.
Sepanjang perbicaraan, seramai 12 saksi pendakwaan dan hanya seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Terdahulu, peguam bela yang mewakili tertuduh, Roslan Hassan berkata, anak guamnya perlu diberi peluang kedua dengan dilepaskan melalui bon jaminan berkelakuan baik.
"Tertuduh tiada rekod jenayah lampau dan dia dilahirkan dalam keluarga yang berpecah-belah.
"Dia didera sehingga umurnya 12 tahun. Akibatnya, dia trauma dan membenci diri sendiri sehingga ibunya yang tinggal di Dubai pulang semula ke negara ini untuk menjaganya," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi bagaimanapun menegaskan hukuman berat harus dijatuhkan terhadap tertuduh kerana ia melibatkan kesalahan serius iaitu merogol gadis bawah umur.
"Walau apa pun faktor rayuan yang dinyatakan oleh pihak pembelaan, ia tidak boleh memberikan sebarang keistimewaan terhadap tertuduh untuk diberikan hukuman ringan," ujarnya.
Roslan kemudian memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman bagi mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi namun ditolak oleh mahkamah.
No comments:
Post a Comment