3 beradik mangsa dera diselamatkan
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Supritendan Nor Hashim Mohamad berkata, pasangan berusia 40 dan 39 tahun itu ditahan tiga jam selepas anak sulung mereka berusia 14 tahun membuat laporan di Balai Polis Gelang Patah di sini pukul 11 pagi.
Menurutnya, pasangan tersebut yang bekerja sebagai guru muzik di rumah mereka mempunyai dua anak perempuan berusia 14 dan 10 tahun manakala seorang lagi lelaki berusia lapan tahun.
"Berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa sering dipukul dan ditampar termasuk dipukul dengan kayu hoki oleh bapa dan ibu tiri mereka sejak tinggal di Kampung Melayu pada 2007.
"Kejadian terbaru yang menimpa mangsa adalah pada Ahad dan kelmarin sebelum anak sulung pasangan terbabit membuat laporan polis," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Nor Hashim berkata, pemeriksaan ke atas dua kanak-kanak perempuan itu mendapati terdapat beberapa kesan lebam di badan selain kepalanya turut dibotakkan manakala adik mereka tidak mengalami sebarang kesan kecederaan.
Menurutnya, tiga beradik itu juga tidak pernah berjumpa dengan ibu kandung mereka selepas bapanya bercerai beberapa tahun lalu.
Katanya, tiga beradik itu kini telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala pasangan tersebut kini ditahan reman sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) bagi membantu siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment