Nayati bebas selepas tujuh hari diculik
Difahamkan, Nayati, 12, dibebaskan oleh penculiknya setelah keluarga kanak-kanak itu membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 pada tengah hari semalam.
Kanak-kanak malang itu yang dibebaskan dalam keadaan selamat dan tidak dicederakan ditemui oleh seorang wanita, Norzaini Zainul Abidin, 31, di luar tandas kawasan rehat itu kira-kira pukul 7.30 pagi ini.
Nayati yang berjaya menghubungi ibunya dengan bantuan Norzaini telah dipertemukan dengan ibu bapanya di hentian itu (arah utara), kira-kira 25 minit kemudian.
Utusan Malaysia difahamkan, Nayati ditemui oleh Norzaini di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah selatan sebelum dibawa ke Restoran Jejantas Sungai Buloh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, penculik Nayati telah membebaskan kanak-kanak itu setelah keluarganya membayar wang tebusan, namun beliau tidak menyebut jumlah tebusan itu.
"Beberapa hari lalu, penculik telah menghubungi keluarga Nayati meminta mereka membayar wang tebusan dan permintaan itu dipenuhi semalam. Wang tunai itu diserahkan di sebuah kawasan di Cheras.
"Mangsa yang ditinggalkan bersama telefon bimbit milik penculik telah dipertemukan dengan ibu bapanya di Sungai Buloh pada pukul 7.55 pagi ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Nayati yang berpakaian seragam sekolah dilaporkan hilang dipercayai diculik oleh dua lelaki tempatan ketika berjalan kaki berseorangan ke sekolahnya.
Bapanya yang bekerja sebagai pengurus konsultan, Sham Moodliar, 41, memaklumkan seorang saksi telah melihat anaknya itu ditarik oleh dua lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta Proton Gen-2 berwarna hitam.
Kehilangan Nayati mendapat liputan luas media massa dan menarik perhatian ramai pihak yang bimbang terhadap keselamatannya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melalui Twitternya menyeru orang ramai membantu mengesan kanak-kanak itu.
Mengulas lanjut kes tersebut, Mohmad berkata, polis setakat ini belum dapat memberkas suspek tetapi usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan.
"Pihak polis yang cuba sedaya upaya untuk memburu suspek dan menyelesaikan kes penculikan ini.
"Setakat ini, polis belum mengambil keterangan daripada Nayati kerana kanak-kanak itu masih dalam keadaan trauma," katanya sambil memberitahu Nayati sudah dibawa pulang oleh keluarganya.
No comments:
Post a Comment