Saturday, May 5, 2012

maut tidur dalam kereta

ARKIB : 04/05/2012

5 beranak maut disyaki tertidur dalam kereta

JOHOR BAHRU 3 Mei - Kematian lima sekeluarga yang ditemui di dalam kereta di sebuah bengkel pendingin hawa kenderaan di Jalan Serangkai 4, Taman Bukit Dahlia, Masai di sini semalam dipercayai berpunca daripada kemalangan, bukannya membunuh diri atau dibunuh.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, ini kerana pihaknya tidak menemui sebarang nota bunuh diri, selain tiada kesan kecederaan dikesan pada tubuh kesemua mangsa.
"Polis percaya, pada malam kejadian, pendingin hawa di tempat tersebut yang juga merupakan kediaman mereka rosak dan membuat keputusan untuk tidur di dalam kereta dengan menghidupkan enjin dan pendingin hawa kereta milik mangsa.
"Bagaimanapun, mungkin tanpa mereka sedari perbuatan itu membahayakan nyawa sehingga berlaku kemalangan ini. Namun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kematian lima sekeluarga tersebut yang dijumpai bapa mangsa lelaki yang curiga selepas gagal menghubunginya sejak Ahad lalu.
Lelaki berusia 63 tahun itu yang pergi mencari anaknya di tempat kejadian terhidu bau busuk sebelum meminta bantuan orang awam menghubungi polis kira-kira pukul 5 petang.
Polis yang tiba tidak lama kemudian memecahkan pintu belakang premis berkenaan dan menjumpai kelima-lima mayat di dalam sebuah kereta Proton Iswara.
Mangsa ialah Lim Kah Weng, 32, isterinya, Tiew Ong Nee, 34, anak lelaki, Lim Yuh Bin, 11, serta dua anak perempuan, Lim Sim Loo, 9, dan Lim Sim Tian, 4.
Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga yang berasal dari Setapak Indah, Kuala Lumpur kira-kira 4 petang ini.
Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui di HSA enggan memberi sebarang komen kerana masih bersedih dengan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment