Wednesday, May 23, 2012

tenang selepas islam

Tertarik dengar laungan azan
Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2012
Syafiqah Foo mengajar anakanaknya agama.
Syafiqah Foo mengajar anakanaknya agama.
 
PENDANG - `Penghijrahan’ seorang wanita di Kampung Lubuk Batu Kubur Panjang, Pendang di sini amat bermakna bagi dirinya selepas memeluk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah.
Mualaf, Syafiqah Foo Abdullah, 32, mengakui dirinya sentiasa berasa sangat tenang terutamanya selepas menunaikan solat.
Syafiqah kini menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya, Abdullah Hanafi, 37, dan lima anak mereka iaitu Nur Batrisyia Abdullah, 11; Nur Nusratina, 9; Nur Nayli Balqis; Muhammad Darwisy, 2; dan Nur Syasya Zulaikha, 1.
Anak sulung daripada dua beradik itu berasal dari Paya Terubong Balik Pulau, Pulau Pinang memeluk Islam pada 19 Oktober 2000.
Berkongsi pengalaman penghijrahannya, menurutnya dia sering mendengar laungan azan setiap kali melalui satu kawasan bukit ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menaiki bas, menyebabkannya berfikir panjang mengenai keistimewaan Islam.
"Setiap kali melalui kawasan bukit itu telinga saya pasti mendengar azan yang merdu dan halus kira-kira jam 10 malam, sedangkan kawasan itu tiada masjid serta berjauhan dengan masjid-masjid lain.
"Keadaan itu menyebabkan saya berfikir panjang dan merujuk kepada seorang lelaki yang baru dikenali (suami) mengenai kejadian itu dan rakan saya memaklumkan bahawa kemungkinan kejadian yang dialami itu adalah hidayah kepada saya untuk memeluk Islam," katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, Syafiqah Foo yang ketika itu bekerja sebagai kerani akaun di sebuah salun rambut mengambil keputusan memeluk Islam, walaupun ditentang kedua ibu bapanya, namun keindahan Islam membuatkannya berusaha bersungguh-sungguh memeluk agama itu.
Katanya, minat dan kesungguhan memeluk Islam membawanya seorang diri ke Pejabat Agama Islam Pulau Pinang untuk mengucap dua kalimah syahadah dan seterusnya membuat laporan polis kerana bimbang kedua ibu bapanya mendakwa dia melarikan diri dari rumah.
"Saya dibawa ke sebuah rumah transit di Pematang Tok Gelam kira-kira setahun untuk belajar lebih mendalam mengenai agama Islam.
"Hubungan dengan seorang lelaki yang menjadi tempat saya merujuk sebelum memeluk Islam membawa hubungan kami semakin rapat selepas saya memeluk Islam dan takdir ALLAH kami berkahwin di Mahkamah Balik Pulau," katanya.
Bawa isteri jumpa keluarga
Penghijrahan Syafiqah Foo tidak pernah dipaksa mana-mana pihak kerana ia dilakukan atas kehendak hatinya sendiri.
Abdullah berkata, selepas bernikah, dia mengambil keputusan membawa isterinya berjumpa dengan keluarga mentuanya walaupun menyedari mentuanya masih memendam rasa marah terhadap isteri kerana memeluk Islam.
"Saya berhadapan dengan mereka (mentua) dan berjanji akan menjaga anak mereka (isteri) dengan baik dan membimbing anak saya dengan agama Islam dengan baik. Saya bersyukur selepas itu hubungan kami baik sehingga kini dan mentua serta saudara-mara yang beragama Buddha dapat menerima kami dan agama Islam.
"Walaupun berlainan agama namun kami sekeluarga tetap pulang ke rumah mentua pada hujung minggu atau sambutan perayaan dan mereka memahami adab dalam Islam seperti dari segi makan dan solat," katanya.
Dapat terima cara Islam
Dalam pada itu, Syafiqah berkata, dia sangat bahagia dan tenang kerana keluarganya dapat menerima dirinya yang berlainan agama, malah ibu bapanya tidak pernah segan silu berjalan bersamanya walaupun dia bertudung.
"Ibu menghormati agama Islam dan menyediakan ruang solat yang bersih kepada saya serta sediakan makanan yang halal untuk orang Islam," katanya.
Syafiqah berkata, dia dapat menerima cara Islam dengan mudah seperti belajar membaca Al-Quran, menunaikan solat dan berpuasa dengan bimbingan kuat daripada suaminya yang sentiasa sabar dan bersungguh-sungguh ketika mengajarnya.
Katanya, suaminya sentiasa mengingatkan dirinya dan anak-anak mengenai perkara perlu dilakukan dan tidak boleh dilakukan di dalam Islam serta sentiasa mengingatkan waktu solat serta sentiasa menutup aurat.
Didikan agama pada anak-anak
Walaupun anak-anak dihantar ke sekolah Cina, namun pendidikan agama tidak pernah diabaikan dengan didikan agar membaca al-Quran walaupun Abdullah sibuk dengan kerja sebagai mekanik kereta.
Abdullah berkata, semua anak-anaknya fasih berkomunikasi dalam bahasa Cina termasuk anak bongsu yang memahami apabila ibunya bercakap dalam bahasa Cina.
"Hubungan anak-anak dengan nenek sebelah isteri juga sangat rapat, namun dia sentiasa mengingatkan anak-anak berkaitan perbezaan agama antara nenek mereka, agar semua anaknya memahami.
"Anak-anak faham jika nenek mereka sedang sembahyang atau pergi ke gereja mereka tidak akan ikut kerana semua telah memahami Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment