Monday, May 28, 2012

pinjam ah long dapat padah

Jerat ah long
Wartawan Sinar Harian
28 Mei 2012
Jerat ah long
Liza mengharapkan ihsan daripada mana-mana pihak untuk membantunya menyelesaikan hutang ah long.
KUALA KANGSAR - Padah berhutang dengan ah long, seorang ibu kepada lima anak kini hidup dalam ketakutan dan penuh kesengsaraan.

Lebih malang, wanita dikenali sebagai Liza berusia 34 tahun itu dipinggirkan ahli keluaraga apabila dikatakan tidak serik membuat pinjaman wang buat kali kedua dengan ah long selepas hutang pertama yang mencecah hampir RM12,000 berjaya dilangsaikan oleh keluarganya.

Ketika ditemui, Liza berkata, dia bukan sengaja mahu membuat pinjaman dengan ah long, namun dia memerlukan wang dengan kadar segera untuk membayar hutang yang dibuatnya melalui sebuah institusi kewangan lain.

Menurutnya, bebanan yang ditanggung itu tidak diketahui suaminya, kerana dia bimbang akan ditinggalkan.

“Sebelum ini, dia (suami)  pernah mengugut akan meninggalkan saya dan anakanak sekiranya saya terjebak semula dengan ah long.

"Memang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa minjaman wang ini kerana masalah kesempitan wang dan perlu membayar hutang.

“Ketika mengambil keputusan meminjam semula dengan ah long, saya sedang berpantang, perniagaan kecil- kecilan yang saya usahakan tutup sementara waktu menyebabkan saya tidak mempunyai wang untuk membayar hutang pinjaman berkenaan,”katanya kepada Sinar Harian dalam satu pertemuan, di sini.

Liza berkata, tanggungan hutang ah long yang berlarutan sejak setahun lalu meningkat hampir RM4,000.

Dek kerana takut dengan ancaman ah long, Liza kini sanggup mengetepikan keperluan lain termasuk yuran sekolah bagi memastikan hutang berkenaan dibayar sedikit demi sedikit.

“Saya cuba membuat pinjaman tambahan dengan agensi kewangan, tetapi permohonan ditolak, saya harap ada pihak yang boleh membantu saya mencari dana tambahan agar hutang yang dibuat ini dapat diselesaikan dan saya dapat hidup dengan selamat,” katanya dengan nada kesal.

bagi tumpang samun pulak

Tidak kenang budi
ROSDALILAH ZAHARI
28 Mei 2012
Tidak kenang budi
Thiyagarajan menunjukkan laporan polis yang dibuat dan keadaan pintu bilik yang
dipercayai diumpil pasangan itu.
IPOH - Seorang pengusaha alat ganti kenderaan berputih mata apabila koleksi barang kemasnya termasuk wang tunai bernilai hampir RM8,000 dilarikan sepasang suami isteri yang menumpang di rumah sewanya di Taman Pasir Puteh, kelmarin.

Difahamkan, pasangan suami isteri yang berusia lingkungan 20 tahun itu mula menyewa di rumah mangsa pada 20 Mei lalu dan mangsa tidak mempunyai masalah dengan pasangan tersebut malah dilayan sebagai saudara sendiri.

Malangnya, pasangan suami isteri itu telah ‘mengambil kesempatan’ di atas niat baik mangsa dengan memecah masuk bilik serta melarikan barang kemas ketika mangsa bekerja.

M Thiyagarajan, 45, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, dia baru pulang dari tempat kerja dan menyedari pintu pagar rumah sewanya terbuka luas namun, pintu utama dikunci.

“Saya berasa tidak sedap hati lalu masuk ke dalam rumah dan terus ke tingkat atas menuju ke bilik tidur utama.

“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat pintu bilik diumpil dan barangan bersepah selain laci serta almari dibiarkan dalam keadaan terbuka,” katanya.

Berikutan itu, Thiyagarajan membuat satu laporan di Balai Polis Pasir Puteh pada malam kejadian.

Menceritakan semula detik perkenalannya dengan pasangan suami isteri itu, dia simpati dengan nasib mereka lalu menumpangkan sebuah bilik di tingkat bawah.

“Kerana kasihan melihat keadaan pasangan itu, saya membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang deposit daripada mereka malah turut membeli seunit kipas bernilai RM150 supaya mereka selesa menginap di bilik berkenaan.

“Namun kebaikan yang dicurahkan dibalas sebegini,” katanya.

anak tuduh ibubapa dera

Didera ibu kandung
SITI NOOR SEPEE
28 Mei 2012
Didera ibu kandung
Maniam dan isterinya, Malika menunjukkan salinan laporan polis dan masa waktu bekerja
sebagai bukti dia tiada di rumah pada waktu kejadian.
SKUDAI- Sepasang suami isteri bukan sahaja kecewa apabila dituduh mendera anak sendiri, namun paling mengejutkan apabila anak kedua mereka itu sanggup mereka-reka cerita semata-mata untuk kembali ke pangkuan keluarga angkat.

Pekerja swasta, Maniam (bukan nama sebenar), 41, berkata, anak keduanya, Letchumy (bukan nama sebenar), 13, sanggup bertindak nekad membuat laporan polis mengatakan ibunya, mencederakannya menggunakan senduk panas dalam kejadian pada 18 Mei lalu.

“Di dalam laporan polis berkenaan, dia menyatakan isteri saya mencederakannya pada kejadian jam 8 malam, sedangkan ketika itu dia tiada di rumah dan habis bekerja pada jam 10.30 malam.

“Saya kecewa apabila anak sendiri sanggup melemparkan tuduhan sedemikian.

Kami mempunyai bukti kukuh iaitu salinan punch card isteri, malah pada waktu kejadian, saya juga belum pulang ke rumah kerana bekerja di Singapura,” katanya.

Menurut Maniam, anaknya sebelum ini dipelihara abang dan kakak iparnya di Parit Buntar, Perak sejak berumur tiga bulan kerana isterinya, Malika (bukan nama sebenar), 36, mengalami masalah kesihatan ada masa itu.

“Saya hanya minta tolong mereka jaga untuk sementara waktu, namun apabila saya meminta anak saya kembali, pelbagai alasan mereka berikan sehingga kami terpaksa ambil keputusan ‘melarikan’ anak sendiri pada Januari lalu,” katanya.

Menurut Maniam, dia terpaksa berbuat demikian kerana risau terhadap masa depan anaknya.

“Prestasi pelajaran Letchumy begitu merosot dan saya risau dia terjebak dalam aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Letchumy kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) selepas membuat laporan polis menyatakan Maniam menderanya pada 21 Mei lalu dan ditempatkan di hospital.

“Saya dan isteri isteri tidak akan melepaskan anak kami ke tangan orang lain.

Kami masih ibu bapa kandung Letchumy dan kami tetap menyayanginya,” katanya.

Semalam, Maniam dan isterinya terpaksa tampil membuat kenyataan bagi membuktikan mereka tidak bersalah mendera Letchumy seperti yang dipaparkan di sebuah akhbar berbahasa Tamil kelmarin.

cinta itu buta

Cinta tak kenal usia

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BAHAGIA...pasangan pengantin bersama ahli keluarga masing-masing.
BAHAGIA...pasangan pengantin bersama ahli keluarga masing-masing.
BATU PAHAT: “Kami menggunakan panggilan ‘abang’ dan ‘sayang’ dan kehadirannya dalam hidup saya membuka buku baru dalam hidup ini.
“Saya berdoa perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat dan menemaninya hingga hujung nyawa,” kata Salmah Saimon, 53, yang melangsungkan perkahwinan dengan warga emas, Mohd Hassim Ahsan, 76, semalam.

Pasangan yang menjalin hubungan cinta selama lima bulan sebelum dinikahkan, sebelum ini hanya melepaskan rindu melalui telefon bimbit berikutan Mohd Hassim berada di Beroleh di sini, manakala Salmah bekerja di Kuala Lumpur.
Cinta jarak jauh itu mendapat restu keluarga sebelum melangsungkan perkahwinan di Kampung Lubuk, Jalan Batu Putih di sini, semalam.

Mohd Hassim berkata, dia beruntung apabila disatukan dengan Salmah menerusi majlis pernikahan dan persandingan yang dihadiri lebih 1,000 ahli keluarga.

“Ini adalah ketentuan Allah dan siapa sangka pada usia begini, jodoh saya masih ada dan dikurniakan pasangan yang cukup memahami.

“Sepanjang tempoh perkenalan mulai awal tahun ini, kami hanya berhubung menerusi telefon dan mengenali hati budi,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan mereka, semalam.

Katanya, dia mempunyai enam anak dan 16 cucu, manakala Salmah, tiga anak dan tiga cucu.
Mengimbau detik perkenalan mereka awal Januari lalu, Hassim yang juga pesara guru berkata, dia diperkenalkan dengan Salmah menerusi saudaranya.

“Hasil perbualan menerusi telefon, saya dapati Salmah penyayang dan memahami diri saya.

“Sebaik mengetahui kami serasi bersama, kami mengambil keputusan bertunang tiga bulan lalu. “Alhamdulillah, tiga bulan kemudian (hari ini) kami sah menjadi suami isteri dan lebih bermakna semua ahli keluarga bersetuju dengan keputusan kami,” katanya. Pada majlis berkenaan, pasangan pengantin warga emas yang lengkap persalinan serba ungu jelas tersipu malu apabila diusik ahli keluarga.

“Saya berdoa perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat dan menemaninya hingga hujung nyawa.

“Saya mengambil keputusan berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa bermula hari ini,” kata Salmah.

Harian Metro yang berkunjung ke kediaman keluarga perempuan mendapati, tetamu terutama keluarga dan jiran tidak melepaskan peluang menghadiri majlis pernikahan yang disambut penuh meriah itu.

Saturday, May 26, 2012

lemas dalam kabinet

Tak bernyawa dalam kabinet

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DI SINI...Mohd Noor menunjukkan lokasi periuk dalam kabinet tempat bayinya ditemui mati.
DI SINI...Mohd Noor menunjukkan lokasi periuk dalam kabinet tempat bayinya ditemui mati.
BATU PAHAT: Sepasang suami isteri bingung apabila bayi lelaki mereka yang baru berusia dua bulan ‘hilang’ dari buaian di rumah mereka di Kampung Seri Ladang, Rengit, dekat sini, sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di dalam periuk di kabinet dapur kediaman berkenaan, kira-kira jam 9 pagi Jumaat lalu.
Malah, ini bukan kali pertama pasangan suami isteri berkenaan, Mohd Noor Sallleh, 58, dan Zarinah Dahalan, 42, terpaksa meratap kehilangan anak kerana sebelum ini dua anak perempuan pasangan itu meninggal dunia pada 2003 dan 2010 ketika masih bayi.
Bagaimanapun, kejadian kali ini menimbulkan tanda tanya selepas Asyraful Iskandar Mohd Noor, yang sebelum itu sedang nyenyak tidur di dalam buaian tiba-tiba hilang sebelum ditemui di dalam periuk.

Mohd Noor berkata, dia tidak menyangka kejadian sedih kehilangan dua anak sebelum ini berulang.


“Pada hari kejadian iaitu jam 8 pagi, saya ke Klinik Kesihatan Sri Merlong bagi menjalani ujian tekanan darah dan sebelum bertolak, saya sempat menjenguk Asyraful Iskandar yang ketika itu nyenyak tidur di dalam buaian.

Friday, May 25, 2012

lori terbalik

ARKIB : 23/05/2012

Pemandu treler maut

Treler yang dipandu oleh Mohd. Ramli Abdullah yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Karak awal pagi semalam. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
KUALA LUMPUR 22 Mei - Seorang pemandu lori treler maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya terputus selepas kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 31.2, Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 12.20 tengah malam itu, difahamkan mangsa, Mohd. Ramli Abdullah, 32, yang berasal dari Felda Tekam, Jerantut, Pahang dalam perjalanan dari Kertih, Terengganu menuju ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Lori treler itu dipercayai hilang kawalan setelah mengalami masalah brek menyebabkan ia terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik di bahu kiri lebuh raya.
Sepasukan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, lori treler membawa bijih plastik itu sedang menuruni bukit dan terdapat kesan brek sepanjang 30 meter bermula dari lorong tengah lebuh raya itu ke arah lorong kiri.
"Kenderaan itu kemudian merempuh penghadang jalan sebelum terbalik di kiri lebuh raya," katanya di sini hari ini.
Mayat Mohd. Ramli dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Wednesday, May 23, 2012

tenang selepas islam

Tertarik dengar laungan azan
Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2012
Syafiqah Foo mengajar anakanaknya agama.
Syafiqah Foo mengajar anakanaknya agama.
 
PENDANG - `Penghijrahan’ seorang wanita di Kampung Lubuk Batu Kubur Panjang, Pendang di sini amat bermakna bagi dirinya selepas memeluk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah.
Mualaf, Syafiqah Foo Abdullah, 32, mengakui dirinya sentiasa berasa sangat tenang terutamanya selepas menunaikan solat.
Syafiqah kini menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya, Abdullah Hanafi, 37, dan lima anak mereka iaitu Nur Batrisyia Abdullah, 11; Nur Nusratina, 9; Nur Nayli Balqis; Muhammad Darwisy, 2; dan Nur Syasya Zulaikha, 1.
Anak sulung daripada dua beradik itu berasal dari Paya Terubong Balik Pulau, Pulau Pinang memeluk Islam pada 19 Oktober 2000.
Berkongsi pengalaman penghijrahannya, menurutnya dia sering mendengar laungan azan setiap kali melalui satu kawasan bukit ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menaiki bas, menyebabkannya berfikir panjang mengenai keistimewaan Islam.
"Setiap kali melalui kawasan bukit itu telinga saya pasti mendengar azan yang merdu dan halus kira-kira jam 10 malam, sedangkan kawasan itu tiada masjid serta berjauhan dengan masjid-masjid lain.
"Keadaan itu menyebabkan saya berfikir panjang dan merujuk kepada seorang lelaki yang baru dikenali (suami) mengenai kejadian itu dan rakan saya memaklumkan bahawa kemungkinan kejadian yang dialami itu adalah hidayah kepada saya untuk memeluk Islam," katanya kepada Sinar Harian.
Justeru, Syafiqah Foo yang ketika itu bekerja sebagai kerani akaun di sebuah salun rambut mengambil keputusan memeluk Islam, walaupun ditentang kedua ibu bapanya, namun keindahan Islam membuatkannya berusaha bersungguh-sungguh memeluk agama itu.
Katanya, minat dan kesungguhan memeluk Islam membawanya seorang diri ke Pejabat Agama Islam Pulau Pinang untuk mengucap dua kalimah syahadah dan seterusnya membuat laporan polis kerana bimbang kedua ibu bapanya mendakwa dia melarikan diri dari rumah.
"Saya dibawa ke sebuah rumah transit di Pematang Tok Gelam kira-kira setahun untuk belajar lebih mendalam mengenai agama Islam.
"Hubungan dengan seorang lelaki yang menjadi tempat saya merujuk sebelum memeluk Islam membawa hubungan kami semakin rapat selepas saya memeluk Islam dan takdir ALLAH kami berkahwin di Mahkamah Balik Pulau," katanya.
Bawa isteri jumpa keluarga
Penghijrahan Syafiqah Foo tidak pernah dipaksa mana-mana pihak kerana ia dilakukan atas kehendak hatinya sendiri.
Abdullah berkata, selepas bernikah, dia mengambil keputusan membawa isterinya berjumpa dengan keluarga mentuanya walaupun menyedari mentuanya masih memendam rasa marah terhadap isteri kerana memeluk Islam.
"Saya berhadapan dengan mereka (mentua) dan berjanji akan menjaga anak mereka (isteri) dengan baik dan membimbing anak saya dengan agama Islam dengan baik. Saya bersyukur selepas itu hubungan kami baik sehingga kini dan mentua serta saudara-mara yang beragama Buddha dapat menerima kami dan agama Islam.
"Walaupun berlainan agama namun kami sekeluarga tetap pulang ke rumah mentua pada hujung minggu atau sambutan perayaan dan mereka memahami adab dalam Islam seperti dari segi makan dan solat," katanya.
Dapat terima cara Islam
Dalam pada itu, Syafiqah berkata, dia sangat bahagia dan tenang kerana keluarganya dapat menerima dirinya yang berlainan agama, malah ibu bapanya tidak pernah segan silu berjalan bersamanya walaupun dia bertudung.
"Ibu menghormati agama Islam dan menyediakan ruang solat yang bersih kepada saya serta sediakan makanan yang halal untuk orang Islam," katanya.
Syafiqah berkata, dia dapat menerima cara Islam dengan mudah seperti belajar membaca Al-Quran, menunaikan solat dan berpuasa dengan bimbingan kuat daripada suaminya yang sentiasa sabar dan bersungguh-sungguh ketika mengajarnya.
Katanya, suaminya sentiasa mengingatkan dirinya dan anak-anak mengenai perkara perlu dilakukan dan tidak boleh dilakukan di dalam Islam serta sentiasa mengingatkan waktu solat serta sentiasa menutup aurat.
Didikan agama pada anak-anak
Walaupun anak-anak dihantar ke sekolah Cina, namun pendidikan agama tidak pernah diabaikan dengan didikan agar membaca al-Quran walaupun Abdullah sibuk dengan kerja sebagai mekanik kereta.
Abdullah berkata, semua anak-anaknya fasih berkomunikasi dalam bahasa Cina termasuk anak bongsu yang memahami apabila ibunya bercakap dalam bahasa Cina.
"Hubungan anak-anak dengan nenek sebelah isteri juga sangat rapat, namun dia sentiasa mengingatkan anak-anak berkaitan perbezaan agama antara nenek mereka, agar semua anaknya memahami.
"Anak-anak faham jika nenek mereka sedang sembahyang atau pergi ke gereja mereka tidak akan ikut kerana semua telah memahami Islam," katanya.

Tuesday, May 22, 2012

maut di riba ibu

 

Maut di pangkuan ibu

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DI SINI...Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya Kluang, tempat mangsa dibunuh.
DI SINI...Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya Kluang, tempat mangsa dibunuh.
SUGUL...Saemah menceritakan detik anaknya dibunuh.
SUGUL...Saemah menceritakan detik anaknya dibunuh.
KLUANG: “Saya hanya mampu menjerit meminta tolong dan menutup kesan kelar menggunakan tangan bagi mengurangkan darah memancut keluar. Sebagai ibu, saya hanya mampu memangkunya dan berharap ada orang tampil memberikan bantuan.
“Beberapa minit kemudian, seorang jiran menawarkan kenderaan untuk membawa anak saya ke hospital. Malangnya, sebaik mengangkat tubuhnya ke dalam kereta, badannya mulai sejuk dan dia sudah tiada,” kata Saemah Mogeri, 43, ibu kepada mangsa bunuh di Jalan Sentosa, di sini, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Nurul Amin Mohamed Ishak, 22, dipercayai cuba mempertahankan kehormatan diri adiknya yang disyaki cuba diperkosa seorang rakannya, namun mangsa maut selepas lehernya dikelar dengan objek tajam.

Sebelum kejadian, mangsa membawa tiga lelaki dipercayai rakannya bagi menyelesaikan masalah peribadi yang berlaku antara mereka, Selasa minggu lalu.


Saemah berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan menerima panggilan telefon daripada anaknya yang memaklumkan sudah menemui tiga lelaki itu di sekitar bandar Kluang selepas cuba mengesan mereka sejak hampir seminggu lalu.

 

‘Dia masuk bilik saya’


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KLUANG: “Dia (suspek) masuk ke bilik tidur saya dan menekup muka menggunakan kain sebelum cuba menyentuh kemaluan saya,” kata adik Nurul Amin Mohamed Ishak yang hanya mahu dikenali sebagai Alya, 15.
Menurutnya, dalam kejadian jam 2 pagi Selasa lalu, suspek yang juga rakan abangnya memasuki kediaman mereka dalam keadaan mabuk bersama seorang lagi rakannya. “Mereka memang sering datang ke sini. Bagaimanapun, pada malam kejadian mereka berkelakuan pelik dipercayai akibat mabuk.

“Ketika seorang lagi rakannya tidur di ruang tamu, dia menyelinap masuk ke bilik sebelum cuba merogol saya,” katanya.
Alya berkata, dalam kejadian itu, dia meronta dan berjaya meloloskan diri, manakala suspek melarikan diri bersama rakannya.

“Saya memaklumkan kejadian itu kepada ibu sebelum sampai ke pengetahuan abang.

“Berikutan itu, abang (Nurul Amin) mencari suspek, namun tidak menemuinya hinggalah mereka bertemu di satu kawasan di bandar Kluang, malam kelmarin.

“Sebaik menemuinya, abang membawa rakannya itu ke kawasan stor berhampiran rumah kami untuk berbincang sebelum keadaan menjadi tegang,” katanya.

Harian Metro difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar di sini dipercayai maut akibat parah pada lehernya selepas dikelar menggunakan objek tajam.
Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kehilangan banyak darah sebelum dihantar ke Hospital Kluang, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan berkata, akan membuat sidang akhbar hari ini.

Thursday, May 17, 2012

tungggu dihalau

Hanya tunggu masa dihalau
IZWAN ROZLIN
16 Mei 2012
Hanya tunggu masa dihalau
Fadzil (kanan) dan Amir menyerahkan sumbangan untuk keluarga Mazlina.
DAMANSARA – Sebuah keluarga ketika ini hanya mampu menghitung hari diarah berpindah oleh tuan rumah selepas gagal membayar tunggakan sewa rumah berjumlah RM2,000.

Ibu kepada enam anak itu, Mazlina Ibrahim, 30, berkata, dia kini hanya berharap pada bantuan zakat sebanyak RM350 sebulan dan pendapatan daripada mengasuh kanak-kanak.

Katanya, selain menyara lima anak yang bersekolah, dia turut menjaga ibunya yang terlantar sakit.

Menurutnya, tambah memeritkan apabila dia diberitahu bahawa bantuan zakat yang diterimanya akan dihentikan bulan hadapan.

“Suami pula baru keluar dari Pusat Serenti dan sedang berusaha mencari pekerjaan dan pendapatan utama keluarga ketika ini hanya bergantung kepada saya,” katanya ketika lawatan Presiden Ikatan Insan Muslim Malaysia (Irrim) Amir Amsa Alla Pitchay dan Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desma) Mohd Fadzil Abdullah, ke rumahnya di Flat Sri Cempaka, Bandar Sri Damansara, semalam.

Menurutnya, setakat ini perbelanjaan harian ibunya kadangkala mencecah RM20 sehari termasuk keperluan lampin, ubatan dan makan minumnya.

“Lepas ini kalau kena keluar dari rumah ini terpaksalah kami sekeluarga merempat duduk bawah jambatan,” katanya.

Menurutnya, dia kini dalam usaha mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun ia tertangguh disebabkan motosikal di tarik pihak bank kerana gagal membayar ansuran tertunggak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Mazlina Ibrahim Maybank 164397975971 atau hubungi 010-4305474.

peniaga cicak selamat

Lebih setahun diculik, peniaga cicak pulang ke pangkuan keluarga
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
15 Mei 2012
Lebih setahun diculik, peniaga cicak pulang ke pangkuan keluarga
Nazarrudin mencium ibunya, Siti Hamdah dan anak-anaknya ketika dipertemukan semula, semalam
KUALA LUMPUR – Peniaga cicak tokek, Mohd Nazarrudin Saidin, 39, yang meloloskan diri dan diselamatkan selepas lebih setahun diculik di Pulau Jolo, selatan Filipina, menyifatkan diberi peluang kedua untuk hidup bersama keluarga tercinta.

Nazarrudin berkata, sebelum ini dia pernah melarikan diri dan bersembunyi di hutan paya bakau selama sebulan.

Katanya, dia melarikan diri pada hari ke-10, Hari Raya Aidilfitri, 8 September tahun lalu.

Dia yang memiliki enam anak berusia antara 5 dan 16 tahun berkata, tindakan nekad itu dilakukan kerana rasa rindu yang tidak terhingga kepada keluarga di tanah air.

“Saya nekad biarpun menyedari nyawa terancam. Sebaik berjaya meloloskan diri, saya bersembunyi di kawasan hutan paya bakau berseora­ngan selama sebulan.

“Saya kepenatan dan kurang makan. Saya berputus asa dan kembali semula ke perkampungan tersebut,” katanya pada sidang media di pejabat Kelab Putera 1Malaysia, semalam.

Katanya, sebagai hukuman, kakinya digari selama dua hari.

Menurutnya, selepas itu, dia tidak terfikir untuk melarikan diri sehinggalah dibantu orang kampung, kira-kira jam 9 malam, Sabtu lalu.

Katanya, dia kemudiannya dihantar oleh penduduk kampung ke sempadan berhampiran perairan Sandakan, Sabah dengan menggunakan bot, yang mengambil masa 10 jam perjalanan.

Di situ, Kelab Putera 1Malaysia, diketuai Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim membantu Nazaruddin dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga.

Ketika menceritakan detik awal diculik, Nazarrudin berkata, dia bersama jurupandunya, Abdul Ghafar Akkirullah diculik 10 lelaki bersenjata api di sebuah rumah di Indanan, 8 Mei tahun lalu.

“Kami ditempatkan di sebuah rumah. Di luar pula, ada orang bersenjata sedang berkawal. Selama di sana, kami diberi makan dan minum. Saya juga membantu mereka bercucuk tanam,” katanya.

Nazarrudin juga mendedahkan, peniaga ikan warga Malaysia, Pang Chong Pong yang diculik di Pondohan Lok Angki, Sitangkai di Kepulauan Tawi-Tawi, se­latan Filipina, Oktober tahun lalu, turut ditempatkan bersama dengannya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya tidak memberikan wang tebusan walaupun sebelum ini, kumpulan penculik meminta bayaran sebagai pembebasan Nazaruddin.

“Memang sebelum ini Umno dan Kelab Putera 1Malaysia berusaha menjejak Nazarrudin. Itu bukan satu tindakan mudah, tetapi kami tetap berusaha.

“Kami juga tidak dapat masuk ke kawasan perkampungan itu dan mujur penduduk kampung membantu menyelamatkannya,” katanya.

lanun suruh terjun laut

 

Anak kapal: Umpama mati hidup semula

16 Mei 2012
Anak kapal: Umpama mati hidup semula
Anak Kapal Wantas 6, Yusseri Yusof melepaskan rindunya terhadap anaknya, Muhammad Yasin, 16 bulan, dan isteri, Nor Adilla Zulkifli serta ibunya Puteh Chin (kanan) sejurus tiba d
SEPANG - Empat daripada tujuh anak kapal menganggap diri mereka umpama mati hidup semula selepas menempuh detik cemas selama 10 hari apabila kapal mereka yang membawa kontena muatan peralatan penjanaan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dirampas lanun di perairan Laut China Selatan pada 17 April lepas.
Mereka yang ditemui sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini malam ini dari Bandaraya Ho Chi Minh, menyifatkan ia sebagai pengalaman amat mengerikan kerana ditahan lanun yang membawa pelbagai senjata, diacukan parang selain turut mencederakan mereka.
Kelasi kapal Yusseri Yusof, 24, berkata mereka yang berkhidmat dengan Wantas Shipping Sdn Bhd bertolak dari Langkawi pada 12 April lepas, sebelum kapal dirampas lanun pada 17 April.
"Kami kemudiannya dicampakkan ke laut dan hanya diberikan bot kecil. Tidak boleh bayangkan betapa dahsyatnya keadaan itu kerana kami dicampak ke laut yang boleh dianggap sebagai "kubur".
"Selama 10 hari kami di tengah lautan berpanas dan berhujan dengan hanya memakai seluar pendek kerana pakaian lain juga dirampas. Kami cuma ada sedikit makanan dan air untuk meneruskan hidup," katanya yang juga bapa kepada seorang anak.
Yusseri berkata rakannya Md.Elias Uddin yang berasal dari Bangladesh berenang sehingga empat jam dan akhirnya menemui bot nelayan Vietnam yang menyelamatkan mereka pada 30 April lepas.
Pada 4 Mei, mereka selamat tiba di pantai Phu Yen, Vietnam selepas melalui perjalanan selama empat hari, kata Yusseri.
Selain Yusseri, anak kapal lain yang terselamat adalah Lau Kah Chong, 36, serta rakyat Bangladesh M.Khorshed Alam dan Md Elias Uddin.
Manakala tiga lagi anak kapal rakyat Indonesia telah dihantar pulang ke negara mereka pada 12 Mei lepas, yang hanya dikenali sebagai Damri Marawat Napitupulu, Sholehuddin dan Supardi.
Sementara itu, Lau, 36, mengucapkan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia kerana membawa mereka pulang ke Malaysia dan bersyukur kerana dapat menemui keluarganya kembali.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut sama dalam rombongan misi menyelamat itu berkata misi kali ini dianggap unik kerana berjaya menyelamatkan mangsa dari tiga negara berbeza.
Katanya meskipun syarikat berkenaan mengalami banyak kerugian akibat rampasan itu, beliau berkata apa yang lebih penting adalah keselamatan pekerja mereka.
Anak kapal tersebut dihanyutkan di dalam sebuah bot 214 batu nautika dari Barat Daya Miri, Sarawak berhampiran sempadan perairan Malaysia-Vietnam.
Kapal milik Wantas berpangkalan di Langkawi dipercayai dirampas lanun ketika belayar dari Teluk Ewa, Langkawi ke Tawau, Sabah.
Pasukan penguatkuasa Maritim Filipina menemui kapal kontena itu di perairan negara itu berhampiran Kepulauan Palawan dengan lapan kontenanya dipecahkan manakala semua anak kapalnya hilang.
Susulan itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menemui kesemua anak kapal itu pada 28 April lepas. - Bernama

Seksa 10 hari dicampak lanun

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEPANG: “Pengalaman memang tak boleh dibayangkan, amat dahsyat sebab kami semua memang tahu laut adalah kubur, dan dalam tempoh 10 hari terapung kami cuma makan roti keras dan air yang ada di dalam rakit penyelamat sebagai penyambung nyawa,” kata Yusseri Yusof, 24, kelasi kapal Wantas Shipping Sdn Bhd yang dirampas lanun di perairan Tanjung Datu, Sarawak, 17 April lalu.
Katanya, dalam keadaan sehelai sepinggang mereka bertawakal dan menguatkan semangat walaupun menyedari peluang mereka amat tipis memandangkan semua sudah keletihan dilambung ombak dan terpaksa berpanas serta berembun.

“Nasib baik seorang kawan kami berenang hampir dua batu nautika apabila ternampak bot nelayan, sekali gus menyelamatkan kami semua,”katanya ketika ditemui sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, semalam.

Kepulangan mereka yang tiba dengan menaiki pesawat AK 883 dari Ho Chi Minh, Vietnam disambut Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Turut dibawa pulang seorang lagi anak kapal, Lau Kah Chong, 36, dua warga Bangladesh, M Khorshed Alam dan Md Elias Uddin, sementara tiga lagi warga Indonesia iaitu Damri Marawat Napitupulu, 59, Solehuddin, 31 dan Supardi, 40, sudah dihantar pulang ke negara asal mereka.

Akhbar sebelum ini melaporkan tujuh anak kapal membawa janakuasa elektrik diselamatkan Jabatan Penyelarasan Penyelamat Vietnam selepas 10 hari menempuh pengalaman pahit berada dalam rakit penyelamat, apabila bot tunda mereka dirampas lanun di perairan Tanjung Datu, Sarawak pada 17 April lalu.


Kapal milik Wantas Shipping berpangkalan di Langkawi itu dipercayai membawa lapan kontena muatan peralatan penjanaan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai jutaan ringgit.

Mereka ditemui berhampiran Pulau Amboyana Kecil, Vietnam pada 30 April lalu dalam keadaan tidak bermaya selepas gerakan bersepadu membabitkan tiga negara dilakukan sebaik menerima maklumat.

Tongkang mereka ditemui Pasukan Pengawal Pantai Filipina di Cagayancillo di Palawan, Filipina pada 26 April lalu.

Yusseri berkata, ketika kejadian, dia sedang memandu kapal mengikut haluan yang ditetapkan kapten dan langsung tidak menyedari kehadiran lanun terbabit.

“Saya hanya sedar apabila mereka yang berparang tarik dan pukul kepala, mengacu leher dengan parang selain membuang cermin mata yang dipakai.

“Mereka ramai dan semuanya bertopeng, selepas merampas kapal mereka menyuruh kami terjun ke laut, dan kami menyelamatkan diri dengan menaiki rakit penyelamat yang dicampak lanun itu,” katanya. Sementara ibu Yusseri, Putih Chin, 48 berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia, yang membantu membawa pulang anaknya dengan selamat.

Wednesday, May 16, 2012

imam maut

Imam maut lepas solat jenazah
Wartawan Sinar Harian
16 Mei 2012
Imam maut lepas solat jenazah
Musafar (duduk, kanan) dan Che Som (berdiri, kanan) terkejut setelah mendapat tahu kejadian yang menimpa bapa saudaranya, semalam.
TO’ UBAN - Imam Kampung Serendah maut selepas menghadiri solat jenazah penduduk di Kampung Perol, jam 3 petang semalam.

Mangsa, Said Abdullah, 79, yang juga dikenali sebagai Tok Awang, menaiki motosikal EX5 sendirian bertembung sebuah motosikal ditunggang seorang peniaga, Awiyah Majid, 59. Awiyah yang menunggang motosikal Yamaha LC bersama jirannya, Aisyah Mamat, 61, tercampak di tepi belukar, bagaimanapun keudanya mengalami kecederaan ringan.

Anak saudara arwah, Musafar Mohamad, 40, berkata, bapa saudaranya baru sahaja selesai menunaikan solat jenazah penduduk di Kampung Kelar Besar.

“Arwah kata, dia mahu ke Masjid Kampung Perol untuk menunaikan solat jenazah penduduk lain.

“Beberapa meter dari masjid, arwah terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya,” katanya semalam.

Sementara itu, menantunya, Che Som Abd Wahab, 45, berkata, Jumaat lalu, arwah berpesan agar bersabar jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Tok Awang sempat menanam tiga pokok kelapa untuk kegunaan anak cucunya kelak.

“Arwah Tok Awang juga sepatutnya bertolak ke Kuala Lumpur bersama menantu lelakinya namun menolaknya di saat akhir,” katanya.

Jenazah Tok Awang akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Serendah, malam semalam.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Friday, May 11, 2012

adik lemas

Terpaku lihat adik lemas

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...orang ramai dan rakan mangsa mengaminkan doa selepas mayat mangsa ditemui, semalam. Gambar kecil, Mohd Rizal.
PILU...orang ramai dan rakan mangsa mengaminkan doa selepas mayat mangsa ditemui, semalam. Gambar kecil, Mohd Rizal.
OPERASI...anggota penyelamat mencari mangsa.
OPERASI...anggota penyelamat mencari mangsa.
BUKIT BERUNTUNG: “Saya amat sedih dengan kejadian menimpa adik saya yang lemas dan tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya,” kata Mohd Rohaimin Noor Azlee, 19, menceritakan detik cemas melihat adiknya, Mohd Rizal, 18, tenggelam ketika mereka memukat ikan di sebuah bekas lombong berhampiran Taman Adenium, di sini.
Menurutnya, kejadian berlaku jam 2 pagi kelmarin ketika dia bersama arwah dan empat rakan berumur 18 hingga 20 tahun pergi ke lombong berkenaan untuk memancing dan memukat ikan.

Katanya, mereka pergi selepas selesai bekerja sebagai pelayan di restoran di Bandar Bukit Sentosa, jam 1 pagi kelmarin.
“Saya dan seorang rakan berada atas tebing lombong ketika arwah bersama tiga rakan lain memukat ikan dalam bekas lombong timbus sedalam satu meter itu.

“Saya melihat arwah tenggelam sedikit demi sedikit dalam cahaya malap pagi itu. Bagaikan terpaku, saya tidak sempat menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sementara itu, Penolong Kanan Pengusaha Bomba dan Penyelamat Hulu Selangor, Abd Latif Mohd Noor berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi daripada majikan mangsa.

Katanya, 25 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan tenggelam dalam lombong itu.

“Usaha menyelamat dibantu polis dan penduduk yang tiba sejak awal pagi kelmarin,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba daripada Unit Skuba, Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam turut membantu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 5.25 petang semalam.