Anak hilang masih hidup
Mariam Sariah (gambar), 48, yang tinggal di Bandar Seri Alam, dekat sini berkata, anaknya, Faizada Aldar, 23, sebelum ini bekerja di sebuah kedai runcit di Rawang, Selangor sebelum disedari hilang pada 2008.
Dia sebelum ini cuba menghubungi anaknya tetapi tiada jawapan selain turut mencari di tempat kerjanya tetapi gagal.
"Selepas gagal mencarinya, saya berputus asa dan menganggapnya telah meninggal dunia sebelum seorang warga Indonesia yang saya kenali memaklumkan dia pernah berjumpa dengan Faizada di Tanjung Pinang, Indonesia pada 25 Disember 2009," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mariam yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan menetap di bandar raya ini sejak 1991 memberitahu, anaknya kini menetap di Lombok serta sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tujuh bulan.
Menurutnya, Faizada gagal menghubunginya kerana ditahan di Penjara Kajang sebelum itu atas tuduhan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir ke Indonesia.
"Anak saya diusir kerana disangka pendatang asing ekoran tidak memiliki kad pengenalan kerana saya mendaftarkan kelahirannya di Johor Bahru pada usia yang lewat iaitu ketika dia berusia 16 tahun.
"Masalah timbul apabila Jabatan Pendaftaran Negara meminta saya membuat permohonan itu di Sabah namun setelah tujuh kali saya berulang-alik, ia masih tidak selesai," katanya.
Katanya, dia akan membuat laporan polis bagi mengesahkan kehilangan itu sebelum ke Jabatan Imigresen di Putrajaya bagi mencari jalan terbaik untuk membantu membawa pulang Faizada ke Malaysia dengan segera.
No comments:
Post a Comment