Cerita duka amah Kemboja
AWAL bulan ini, seorang amah Kemboja, Mey Sichan, 24, ditemui mati dalam keadaan sungguh menyayat hati. Mayat wanita itu terbaring di atas katil di dalam stor barang di premis tingkat dua kedai menjual alat pertukangan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Siasatan polis menemui beberapa kesan calar di belakang badan selain luka di telinga dan kaki mangsa serta lebam di badannya.
Berat badan mangsa juga didapati susut mendadak daripada berat badan normal kepada 26 kilogram kerana dipercayai tidak diberi makan oleh majikannya.
Selain Sichan, sudah ada beberapa kes penderaan melibatkan amah rakyat Kemboja yang dilaporkan. Antara mangsa itu ialah Phoung Channary, 23.
Channary sudah dua tahun setengah meninggalkan keluarganya yang hidup melarat di kawasan pergunungan untuk bekerja di sini. Semasa tiba di sini, dia tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris atau Melayu. Dia cuma tahu beberapa patah perkataan seperti my name is Chanary, I am fine dan thank you madam.
Keadaan itu menyebabkan Channary sering berdepan masalah komunikasi bersama majikannya. Kesukaran itu menjadi punca dia dimaki hamun, ditampar serta dicubit sehingga lebam tubuhnya.
"Semasa mula-mula datang, saya tidak faham arahan majikan. Lain yang disuruh, lain yang dibuat. Kerana itu, saya kerap ditampar dan dimaki. Majikan juga selalu gunakan bahasa kesat kepada saya.
"Dia selalu kata saya bodoh dan lembap," ujarnya yang menceritakan bekas majikannya seorang peniaga salun yang cerewet.
"Setiap hari saya perlu bangun pada pukul 4.30 pagi untuk mencuci lantai, bukan dengan mop, tetapi dengan berus dan kain lap. Semua perabot dan peralatan mesti bebas daripada habuk.
"Malah, pokok hiasan juga perlu dilap daunya sehelai demi sehelai. Seminggu sekali, saya akan mengelap daun-daun tersebut dengan minyak zaitun supaya berkilat.
"Bila angin majikan tidak baik, dia mudah marah dengan semua perkara. Apa yang saya buat semua jadi tidak kena. Saya pernah terlewat mengelap cermin di tingkat atas kerana menguruskan ibunya di tandas. Dia terjerit-jerit memanggil saya dan marah kerana lambat buat kerja.
Dijemur
"Saya ditampar dan dicubit. Saya juga didenda supaya melutut di bawah matahari selama berjam-jam di atas batu-batu sungai yang ada di laman rumah. Dalam sebulan mesti dua tiga kali saya akan didenda begitu," cerita anak kelima daripada lapan beradik ini.
Channary juga mengakui dia jarang menjamah makanan berzat bahkan dilarang memasak sendiri di dapur.
"Setiap hari majikan akan membeli lauk di luar, sesekali sahaja dia memasak di rumah. Saya hanya dibenarkan makan selepas mereka sekeluarga makan.
"Majikan saya juga kerap pergi bercuti bersama keluarga. Saya ditinggal dan disuruh menjaga rumah. Ia tidak jadi masalah kerana ketika itu saya boleh berehat tetapi masalah lain pula timbul.
"Majikan tidak meninggalkan bekalan makanan sebaliknya meletakkan sebungkus mi segera dan seplastik cili di dalam peti sejuk. Keadaan itu memang sukar kerana saya tidak tahan pedas.
"Saya cuba keluar dari rumah untuk meminta makanan daripada pembantu rumah jiran, namun gagal kerana pintu pagar yang tinggi itu dikunci," cerita Channary yang pernah dituduh mencuri wang sedangkan ketika itu, dia sendiri tidak pernah melihat wang kertas Malaysia.
Selama sembilan bulan di situ, dia tidak pernah dibayar gaji. Menurut majikannya, wang gajinya disimpan oleh ejen dan akan diserahkan kepadanya selepas tamat tempoh perkhidmatan.
Namun, semasa berjumpa dengan ejen atas tujuan pemeriksaan kesihatan, ejen yang juga guru kursusnya memberitahu, dia tidak menerima sebarang wang daripada majikannya. Kerana kekeliruan itu, Channary bertanyakan semula hal gaji kepada majikannya. Namun, tindakannya itu hanya mengundang kemarahan.
Dia dikurung di dalam bilik stor di bawah tangga yang gelap dan sempit selama dua hari.
"Selepas menangis dan merayu, barulah saya dilepaskan. Saya diugut supaya tidak mengadu hal di dalam rumah kepada jiran atau ejen. Saya bersetuju.
"Selepas diberi makan nasi, saya masuk ke bilik untuk mandi dan tidur. Kira-kira pukul 3 pagi, saya terjaga kerana pintu rumah diketuk kuat. Seperti yang dijangka, suami majikan saya baru pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Dia memang suka minum arak.
Dikurung
"Tetapi pagi itu, nasib saya malang sekali. Ketika saya membuka pintu, dia tiba-tiba menolak saya hingga saya terbaring di sofa sebelum tubuhnya yang besar itu menindih tubuh saya.
"Saya hanya mampu menjerit sekuat hati dengan harapan majikan saya terjaga dan segera turun ke bawah. Namun, disebabkan itu, pipi saya ditampar beberapa kali.
"Mujur jeritan saya didengar oleh anak majikan yang masih berjaga. Dia turun ke bawah dan meleraikan pergelutan kami. Pagi itu saya dimarah sekali lagi dan dituduh cuba menggoda suami majikan saya.
"Sejak detik itu, saya sentiasa mencari peluang untuk melarikan diri. Tiga hari selepas cuba diperkosa, saya sempat lari ke luar pagar dan mengejar kereta jiran yang baru hendak keluar. Saya merayu kepadanya supaya membawa saya ke balai polis.
"Mulanya dia agak keberatan, tetapi selepas saya tunjukkan bekas lebam di muka dan parut di dahi, dia bersetuju.
"Sampai di balai, saya rasa sangat lega, seperti sudah dapat hidup saya kembali. Saya tidak mahu lagi bekerja di rumah itu. Saya tidak kisah gaji saya hilang begitu sahaja, asalkan saya tidak lagi dilayan seperti hamba," katanya.
Kini, Channary gembira bekerja dengan majikan baharu yang melayannya dengan baik.
"Saya datang ke sini untuk bekerja. Saya mahu membantu ibu dan bapa saya yang hidup miskin di Kemboja. Saya ke sini bukan untuk hidup mewah atau mahu dilayan seperti raja.
"Cukuplah jika majikan boleh menghargai saya sebagai pekerja," katanya yang mahu mengumpul duit untuk membelikan mesin membajak padi buat bapanya. - SITI NOR AFZAN KASIMAN
No comments:
Post a Comment