Budak 3 tahun lemas dalam takungan air
TANAH MERAH 17 April - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui mati lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam takungan air berhampiran rumahnya di Kampung Banggol Kemunting dekat sini, petang semalam.
Mohammad Hakimi Che Rasid yang menghidap sindrom Down dikatakan hilang pada pukul 7 petang sebelum mayatnya ditemui pukul 8.30 malam dalam takungan air yang terletak kira-kira dua meter di belakang rumahnya.
Ibu mangsa, Rohani Samad, 32, berkata, dia bersama empat lagi anaknya keluar ke kedai untuk membeli barang dan meninggalkan mangsa, anak bongsu daripada enam beradik itu dengan suaminya, Che Rasid Yaakob, 42, di rumah.
"Bagaimanapun suami saya tidak sedar Hakimi keluar melalui pintu dapur yang tidak ditutup.
"Apabila pulang dari kedai saya dapati dia tiada dan kami mencarinya dengan bantuan jiran.
"Akhirnya kami temui dia lemas dalam takungan air tersebut," kata Rohani yang tidak dapat menahan tangis ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment