Thursday, April 26, 2012

kalau sudah rezeki

ARKIB : 25/04/2012

BR1M ditolak tapi tetap dapat RM500

MUAR 24 April - Kekecewaan seorang penduduk Kampung Parit Kelantan, Bukit Naning di sini ekoran permohonannya untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditolak 'terubat' apabila dia menerima sumbangan peribadi RM500 daripada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari baru-baru ini.
Sumbangan itu diberikan kepada Ithnin Terun, 50, setelah UMNO Bahagian Bakri bersimpati dengan luahannya yang gagal mendapatkan BR1M walaupun hanya bekerja di kedai menjual buah-buahan di Parit Sulong dengan pendapatan RM20 sehari.
Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, dia telah membuat permohonan BR1M tetapi ditolak tanpa diberikan alasan kukuh sedangkan layak menerimanya.
"Selepas permohonan ditolak, saya buat rayuan tetapi tetap tidak diterima. Saya tidak tahu apa puncanya dan menganggapnya bukan rezeki kami sekeluarga. Tetapi tidak sangka pula rezeki RM500 memang ada hasil sumbangan UMNO Bahagian Bakri.
"Saya berterima kasih dan bersyukur kerana UMNO prihatin dengan kesusahan dan kepayahan hidup kami. Wang sumbangan ini akan digunakan untuk membeli mesin jahit dan keperluan harian," katanya.
Menurutnya, sumbangan itu amat bermakna kepada keluarganya serta dirinya sendiri yang sering tidak sihat kerana menghidap kencing manis, darah tinggi, gout dan masalah rabun yang teruk.
Sementara itu, Mazlan berharap sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga Ithnin kerana isterinya, Norbaiti Ibrahim, 51, hanya melakukan kerja-kerja kampung.
Katanya, memang menjadi tanggungjawab UMNO Bahagian Bakri membela nasib penduduk kurang bernasib baik walaupun kawasan tersebut termasuk di bawah Parlimen Bakri yang dimenangi DAP.

No comments:

Post a Comment