Friday, April 6, 2012

kasih bertaut kembali

BR1M satukan ibu, anak
Wartawan Sinar Harian
6 April 2012
Abdul Ghani (kanan) membaca doa kesyukuran dalam majlis pertemuan semula ibu dan anak itu.
KUALA KRAU - “Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana saya berpeluang bertemu semula dengan ibu kandung menerusi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas 21 tahun terpisah,” kata Norhidayah Awang, 27.

Menceritakan semula detik pertemuan dengan ibunya, Norhidayah berkata, suaminya, Khairul Izuan Abdul Mubin, 34, memohon bantuan BR1M, namun permohonan mereka ditolak.

“Kami hairan berikutan permohonan kami ditolak, lalu merujuk ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Temerloh. Pegawai terbabit memberitahu nama saya diguna individu lain yang turut sama memohon BR1M.

“Saya terkejut apabila diberitahu nama individu itu adalah milik ibu saya lalu terus mendapatkan nombor telefonnya. Setelah disiasat, ternyata dia ibu saya,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Kuala Mai, dekat sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Sarif Azib.


Berpisah sejak usia 6 tahun

Norhidayah berkata, dia berpisah dengan ibunya ketika berusia 6 tahun, manakala abangnya pula berusia 8 tahun di Kampung Tanjung Buloh, Kerambit.

“Setelah bertemu ibu, saya mahu pujuk dia untuk tinggal bersama kerana saya tidak mahu lagi berpisah dengannya. Saya juga berterima kasih kepada keluarga angkat ibu yang sanggup menjaganya selama ini,” katanya.


Bawa diri ke Kelantan

Khatijah berkata, selepas berpisah dengan arwah suaminya, dia terus membawa diri ke Kelantan.

Selepas beberapa tahun katanya, dia kembali ke negeri ini untuk mencari anak-anaknya, namun hilang jejak.

Menurutnya, dia bersama keluarga angkat kemudian menjejaki Norhidayah bersama abangnya, Mohd Rashid Awang, 29, hingga ke Rompin.

“Di Rompin, saya pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapat nombor kad pengenalan serta alamat terbaru Norhidayah.

“Kemudian saya jejak Norhidayah di Mentakab, tetapi dia sudah berpindah. Saya juga kirim surat, namun tidak berbalas,” katanya.

Khatijah berkata, dia terpaksa menggunakan nama dan nombor kad pengenalan Norhidayah untuk memohon BR1M kerana dia merupakan ibu tunggal di samping bekerja sebagai pencuci di JPN, Kota Bharu.

“Selepas berpisah dengan keluarga, saya ke Kelantan dan bekerja sebagai pembantu kedai. Kemudian, saya berhenti dan menjadi pencuci di JPN selama 18 tahun.

“Pada Disember 2002, saya bertemu dengan keluarga angkat, Abdul Ghani Yaakub, 57. Saya terharu kerana mereka menerima dengan ikhlas dan menganggap saya sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka,” katanya.
Malah buat masa ini katanya, dia mahu tinggal di Kelantan kerana masih bekerja dan akan pulang ke rumah Norhidayah apabila cuti.


Simpati nasib Khatijah

Abdul Ghani pula berkata, dia simpati dengan nasib Khatijah yang sebatang kara ketika bertemu dengannya.

Menurutnya, setelah berbincang dengan isteri dan ahli keluarga, mereka setuju menerima kehadiran Khatijah sebagai ahli keluarga mereka.

“Kami hidup bagaikan sebuah keluarga kerana anak-anak saya rapat dengannya. Isteri saya juga menerima kehadirannya dengan ikhlas.

“Saya harap selepas pertemuan tersebut, hubungan kekeluargaan ini akan bertambah rapat. Saya juga mahu merapatkan hubungan dengan keluarga Norhidayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment