Gadis disergah harimau meninggal
Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
am@hmetro.com.my
KUALA KANGSAR: Seorang remaja perempuan yang berdepan detik ngeri
apabila ‘disergah’ dua harimau ketika mengikuti ibunya menoreh getah
pada 15 Januari lalu, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun
(HRPB) Ipoh, petang kelmarin dipercayai akibat trauma melampau.
Mastura Kamaruddin, 16, sebelum ini dikatakan mengalami trauma
berpanjangan sejak kejadian itu hingga dia gagal menghadiri sesi
persekolahan.
Sejak insiden itu, arwah yang juga pelajar tingkatan empat
Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Kati, Kati, di sini, dikatakan
sering termenung, sukar tidur dan hilang selera makan.
Kedua-dua kakinya dijangkiti kuman akibat terpijak duri rotan
ketika lari menyelamatkan diri daripada dikejar harimau berkenaan.
Arwah juga hanya bersekolah seminggu selepas kejadian itu sebelum
terlantar sakit di rumah keluarganya di Kampung Chuar Hilir, di sini.
Dalam kejadian itu, arwah bersama ibunya, Rohani Osman, 50
terpaksa melalui pengalaman menakutkan apabila terserempak dengan dua
harimau dewasa ketika menoreh getah berhampiran kawasan jirat Cina lama
berdekatan Hutan Simpan Bintang Hijau, di sini.
Dua beranak itu terpaksa berjalan mengundur hampir dua kilometer
selepas diekori dan cuba dibaham dua harimau dewasa berkenaan sebelum
diselamatkan penduduk kampung dua jam kemudian selepas bersembunyi di
atas pokok.
Rohani berkata, hampir 10 pakar perubatan tradisional dan Islam
yang dirujuk mengatakan arwah anaknya berdepan gangguan makhluk halus
atau terkena ‘badi’ harimau selepas kejadian itu.
Rohani yang ditemui semalam berkata, dia tidak menyangka perubahan
sikap dan trauma melampau dialami arwah sebelum ini menjadi petanda
pemergiannya.
Beliau berkata, dia bersama suaminya, Kamaruddin Jene, 52, reda
dengan apa yang berlaku biarpun dia sendiri masih ‘dibayangi’ wajah pak
belang yang cuba membahamnya itu.
“Beberapa minggu sebelum kematiannya, arwah pernah berpesan kepada
saya dan suami supaya tidak lagi keluar menoreh kerana bimbang menerima
nasib sepertinya.
“Seminggu selepas kejadian ngeri itu, arwah menunjukkan perubahan
sikap yang ketara selain banyak menyendiri dan kurang bercakap. Arwah
mungkin terkena ‘badi’ pak belang itu selain dirinya yang mudah lemah
semangat,” katanya.
Menurutnya, pada Februari lalu, tahap kesihatannya bertambah teruk
sehingga terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Kangsar dan Hospital
Taiping mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, selepas menerima rawatan di dua hospital berkenaan,
keadaan arwah tidak banyak berubah dan doktor mengesahkan darahnya
dicemari kuman serta merebak ke bahagian pinggang ke bawah.
Rohani berkata, arwah terpaksa dikejarkan ke HRPB pada 13 April
lalu selepas demam panas sebelum doktor mengesahkan kuman berkenaan
merebak ke bahagian otaknya.
“Beberapa hari sebelum meninggal dunia, arwah langsung tidak boleh
bercakap malah, doktor mengesahkan sebahagian tubuhnya dari pinggang ke
bawah lumpuh,” katanya.
Jenazah Mastura dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chuar Hulu, di sini, semalam.
Remaja diekori harimau meninggal kerana trauma
NURUL ZAILA MOHD TAHIR
26 April 2012
Rohani (tengah) kelihatan sedih ketika mengiringi upacara pengebumian anaknya.
KENANGAN...Mastura di samping ibunya selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Pak belang yang ditembak mati selepas mengekori arwah dan ibunya 3 bulan lalu.
KUALA KANGSAR - Peristiwa diekori harimau hampir tiga jam di kawasan
Padang Ragut Changkat Jambu, di sini, mengakibatkan kehidupan Mastura
Kamaruddin, 16, diselubungi trauma sehingga dia menghembus nafas
terakhir pada jam 5 petang kelmarin, di Hospital Raja Permaisuri Bainun
(HRPB), Ipoh.
Kisah Mastura bersama ibunya, Rohani Osman, 50, diekori harimau ketika
menoreh getah pada 15 Januari lalu pernah menggemparkan negara apabila
tersiar di dada akhbar.
Menurut Rohani, selepas peristiwa itu, kesihatan Mastura sering
terganggu termasuk mengalami demam panas dan pernah dimasukkan ke wad
Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.
Katanya, kesihatan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong
Kati itu semakin teruk dari sehari ke sehari sehingga hilang kemampuan
berjalan pada 7 April lalu.
“Keadaannya sangat lemah ketika itu sehingga perlu didukung oleh
bapanya untuk ke bilik air dan memerlukan jagaan sepanjang masa.
“Mastura dipindahkan ke HRPB pada 13 April lalu kerana keadaannya
semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap,” katanya ketika ditemui di
kediamannya, di Kampung Chuar Hilir, di sini, semalam.
Laporan hospital mengatakan kematian Mastura berpunca daripada
jangkitan kuman dalam darah dan Sinar Harian difahamkan selepas
peristiwa diekori harimau, kehidupan remaja itu sering dihantui insiden
berkenaan.
Sentiasa ketakutan
ROHANI mengakui Mastura mengalami trauma dan sentiasa berada dalam
ketakutan selepas peristiwa itu, sehingga tidurnya sering terganggu.
Katanya, selain mendapatkan rawatan di hospital, keluarganya turut
mendapatkan rawatan alternatif daripada pengamal perubatan tradisional
dan pernah dibekalkan limau nipis untuk mandi.
“Hanya saya sahaja mandi menggunakan limau nipis itu sedangkan Mastura tidak mahu melalui proses berkenaan,” jelas Rohani.
Rohani juga memaklumkan anaknya itu mengalami luka di bahagian kaki dan
pinggang serta sedikit kecederaan semasa melarikan diri daripada
harimau berkenaan.
Menurutnya, luka berkenaan semakin teruk sehingga kaki Mastura menjadi
lemah menyebabkan remaja itu tidak mampu berjalan dan kini mereka
sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun di selubungi kesedihan.
Hilang mata pencarian
DALAM pada itu, Rohani menceritakan, Mastura sempat berpesan agar dia
tidak lagi menoreh di kawasan kejadian beberapa hari sebelum
menghembuskan nafas terakhir.
Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu turut memberi pesanan
sama kepada ayahnya kerana bimbang mereka akan jatuh sakit sepertinya.
“Kerana menghormati pesanan akhir Mastura, saya dan suami tidak lagi
menoreh di kawasan padang ragut itu demi mengelak kejadian sama
berulang.
“Sekarang kami tidak tahu di mana mahu mencari rezeki kerana selama ini
pendapatan kami sekeluarga hanya bergantung kepada kerja menoreh
getah,” katanya.
Dalam keadaan sedih serta muram, Rohani mengakui dia sendiri tidak
dapat melupakan kejadian tersebut dan akan berpegang kepada pesanan
Mastura sungguhpun tertekan memikirkan cara mencari sumber pendapatan
keluarga.
*Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi sendiri keluarga ini di talian 012-5825300.