'Hilang' pengalaman menakutkan - Zabedah
JOHOR BAHRU 22 Mac - Warga emas yang dilaporkan hilang selepas membeli-belah bersama anaknya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Ahad lalu mendakwa terpaksa berjalan sejauh lima kilometer sebelum ditemui di Plaza Kotaraya oleh anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) pada hari yang sama.
Sambil menyifatkan ia pengalaman menakutkan, Zabedah Masood, 68, berkata, dia turut menangis seperti kanak-kanak dengan menghentakkan tangan ke paha apabila tidak bertemu dengan anaknya, Siti Haryati Ariffin, 48, dan tiga cucunya.
Pada hari kejadian, Zabedah mendakwa menunggu di tempat dia turun bersama dua cucunya, namun tidak nampak kenderaan anaknya sedangkan menurut Siti Haryati ia berada betul-betul tidak jauh dari kawasan itu.
"Saya tak bawa kad pengenalan, tak ingat nombor telefon. Bila tidak jumpa mereka lepas 10 minit 'terpisah' dengan cucu, saya jadi bingung. Jadi, saya berdiri sahaja di situ dengan harapan anak atau cucu melihat kelibat saya.
"Saya tunggu di situ hingga malam. Namun, mereka mendakwa saya ditemui di tempat lain. Saya tidak ingat bila mula berjalan sebelum diselamatkan seorang anggota Rela wanita," katanya menceritakan semula pengalaman menakutkan itu di rumahnya di Taman Puteri Wangsa di sini hari ini.
Turut berkunjung bertanyakan khabar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman.
Zabedah memberitahu, selepas dibawa ke balai polis berdekatan oleh anggota Rela itu, dia kemudian dihantar ke pusat penempatan sementara insan gelandangan, Anjung Singgah sebelum ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Selepas itu yang saya ingat, anak saya datang ambil dan kami pulang ke Johor Bahru pukul 3 petang semalam," katanya sambil mengakui tidak menghidap sebarang penyakit malah masih menaiki bas sekiranya mahu pulang ke kampung asalnya di Batu Pahat.
Sementara itu, Siti Hajar menyifatkan kejadian tersebut satu pengalaman berharga buatnya dan akan sentiasa memerhatikan ibunya selepas ini biarpun Zabedah memberitahu bahawa dia tidak perlu diawasi seperti seorang kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment