Tiga sekeluarga maut nahas
KUANTAN 9 Mac - Tiga sekeluarga terbunuh manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 210.4, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Gambang di sini awal pagi ini.
Mangsa yang maut, pemandu Proton Waja terbabit, Norazman Ibrahim, 43, bertugas sebagai Eksekutif Kualiti Proton di Shah Alam, isterinya, Norhayati Ibrahim, 42, dan anak lelakinya, Akif Iskandar Norazman, 17, manakala anak perempuan mangsa, Nur Rudiana Norazman, 12, cedera dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa sekeluarga yang menetap di Taman Puchong Perdana, Selangor dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Kemasik, Terengganu untuk menghadiri kenduri kahwin anak sepupunya esok.
Kakak kepada Norazman, Noordinal Ibrahim, 49, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakan adiknya kira-kira pukul 2.30 pagi tadi melalui telefon.
Katanya, secara kebetulan, rakan adiknya itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur telah terserempak dengan kemalangan tersebut dan mengecam nombor plat kereta Norazman.
"Saya terkejut apabila diberitahu tentang kejadian itu dan segera memberitahu suami sebelum bergegas ke sini.
"Arwah sepatutnya bertolak hari ini ke Terengganu, dia juga tidak maklumkan kepada saya untuk bertolak awal, mungkin sudah ajal mereka.
"Anak bongsu arwah pula, Rudiana hanya patah kaki kanan dan luka-luka kecil di badan. Bagaimanapun, saya belum memaklumkan kematian ibu bapa dan abangnya lagi memandangkan dia masih trauma," katanya ketika ditemui di HTAA hari ini.
Menurut Noordinal, tiga sekeluarga terbabit dikebumikan di kampung adik iparnya di Kuala Berang, Terengganu dalam satu liang lahad hari ini.
Katanya, dia akan memelihara anak bongsu arwah memandangkan Rudiana memang tinggal dengannya selepas waktu persekolahan di Shah Alam.
Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.
"Dipercayai mangsa merempuh belakang lori treler yang membawa muatan bijih besi di lorong kiri.
"Berikutan rempuhan itu, pemandunya mati di tempat kejadian setelah cedera parah di kepala dan badan. Isterinya meninggal dunia di Klinik Kesihatan Gambang pukul 3.30 pagi akibat kecederaan dalaman.
"Anak lelakinya pula meninggal dunia pada pukul 4.18 pagi di HTAA akibat parah di kepala. Sementara itu, pemandu lori yang berusia 46 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya.
Tambah Zainalabidin, ketika kejadian cuaca agak gelap kerana tiada lampu jalan dan jalan di situ sedikit berselekoh dan berbukit.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments:
Post a Comment