Thursday, March 15, 2012

pau gigil

“Menggigil tangan buat pau”
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
“Menggigil tangan buat pau”
PONTIAN – “Menggigil tangan ketika buat pau,” luah Bakri Ahmad, 50, terhadap situasi bunyi bising yang dihadapinya setiap hari dari tapak pemprosesan bahan binaan yang terletak berhampiran rumahnya.

Bakri yang merupakan penjual kuih-muih berkata, mereka juga terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah daripada dimasuki debu pasir.

Menurutnya, setiap kali kerja-kerja menuang pasir dilakukan di tapak pemprosesan bahan binaan berkenaan, rumahnya akan terkena debu pasir yang diterbangkan angin.

“Ketika kerja-kerja menuang pasir dari lori dilakukan, debu pasir akan berterbangan, dan sekiranya angin kuat lebih banyak debu yang terhasil. Kesan debu ini dapat dilihat dengan jelas pada permukaan tingkap yang penuh dengan debu pasir,” katanya ketika ditemui petang kelmarin.

Katanya, debu pasir berkenaan juga mengancam kesihatan mereka sekeluarga kerana terpaksa menghidu udara yang tidak bersih.

“Kami terpaksa menutup pintu dan tingkap ketika kerja-kerja tapak pemprosesan berkenaan dijalankan yang bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Katanya, penduduk kampung yang sudah berusia berdepan dengan risiko dihidapi penyakit yang tinggi kesan daripada debu pasir dan bunyi bising yang dihasilkan.

“Tahap kebersihan di sini juga dikhuatiri terjejas berikutan debu pasir yang berterbangan pada makanan dan minuman. Ini sudah tentu akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk dan menjejaskan perniagaan makanan yang diusahakan penduduk kampung,” katanya.

Bakri yang tinggal bersama isteri dan dua orang anak serta seorang cucu berkata, tidur siang cucunya yang baru sahaja setahun kerap kali terganggu dan tersentak dengan bunyi bising dari tapak terbabit.

Justeru itu, dia berharap masalah yang dihadapi penduduk ini dapat diberi perhatian yang sewajarnya dari agensi dan jabatan berkaitan agar diselesaikan dengan segera.

Sementara itu bagi Penghulu Mukim Api-api, Razali Dahlan, ketika ditemui, semalam, berkata, masalah yang dihadapi penduduk Kampung Melayu berkenaan dalam perhatian pihaknya.

Katanya, pentadbiran mukim akan menyemak sama pengusaha terbabit sudah menukarkan status tanah pertanian kepada tanah industri dan lesen perniagaan yang dijalankan.

Menurutnya, tapak pemprosesan bahan binaan berkenaan merupakan satu-satunya yang terdapat di Kampung Melayu.

No comments:

Post a Comment