Wednesday, March 14, 2012

anak tak kenal bapa

‘Dia ni bapak hang’, anak pura-pura tak kenal
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
‘Dia ni bapak hang’
KULIM - “Kalau hang tak mahu pada orang tua ni, hang bunuh dia. Bagi aku tanam. Dia ni bapak hang,” antara ungkapan kecewa diluahkan penjaga seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang merupakan anak saudara kepada mangsa ketika berlaku pertengkaran di hadapan rumah anak perempuan mangsa di sini kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Kejadian berlaku apabila mangsa menyatakan hasrat untuk tinggal di rumah anak perempuan tunggalnya kerana setelah sekian lama dijaga adik-beradiknya.

Waris yang juga anak saudara mangsa buntu dan membawa mangsa ke Balai Polis Kulim apabila mangsa tidak mahu lagi tinggal di rumah mereka.

Seorang waris berkata, mangsa berada bersama keluarganya lebih 30 tahun lalu tetapi berhasrat untuk tinggal bersama anaknya di sebuah taman perumahan di sini dan untuk memenuhi hasratnya, mereka menghantar mangsa ke rumah anak kandungnya.

Menurutnya, sebelum menyerahkan mangsa kepada keluarganya, mereka meminta nasihat polis untuk mengiringi kerana khuatir berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

“Apabila tiba di rumah anak mangsa, polis terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum pintu rumah dibuka. Malang bagi mangsa apabila anaknya itu berpura-pura tidak mengenalinya.

“Perkara ini menimbulkan tidak puas hati dan kemarahan anak saudara mangsa dan berlaku pertengkaran mulut. Anak mangsa terus mendesak supaya bapanya itu tidak ditinggalkan di rumahnya kerana dia tidak mahu menjaganya,” katanya.

Waris mangsa berkata, sejak dulu lagi anak mangsa tidak pernah menjaga kebajikan bapanya itu sebaliknya segala tanggungjawab itu diberikan kepada keluarganya.

Katanya, memandangkan kasi­han­ dengan nasib menimpa mangsa, mereka setuju untuk menjaganya sejak 30 tahun lalu.

“Tok sudah tidak mahu tinggal bersama kami dan meminta kami menghantarnya ke rumah anak perempuannya. Kami semua sudah berkahwin tetapi masih boleh menjaganya. Seingat saya, sekarang saya sudah berusia 28 tahun. Sebelum itu pun tok sudah tinggal bersama kami. Sejak akhir-akhir ini, tok memberontak mungkin kerana dia nyanyuk.

“Dia sering mencederakan dirinya sendiri. Bagaimanapun kami terus menjaganya walaupun bersikap keanak-anakan. Memandangkan dia mahu tinggal bersama anak perempuannya maka kami setuju untuk menghantarnya ke sana. Malangnya anak tok enggan menerimanya,” katanya.

Sebelum itu, jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah anak mangsa memaklumkan kepada waris berkenaan bahawa bapanya telah meninggal dunia. Waris yang mendengar pengakuan dibuat jiran terpinga-pinga dan memperkenalkan kepada mereka bahawa warga emas itu merupakan bapanya.

Polis yang mengiringi waris mangsa kemudiannya memapah mangsa keluar dari kereta dan menunjukkan kepada anaknya, namun anaknya itu masih tidak membuka pintu pagar dan membenarkan bapanya masuk ke dalam rumah.

Atas sikap prihatin, polis meminta anak mangsa untuk memberikan kerusi kepada bapanya kerana mangsa tidak tahan berdiri lama kerana sudah tua.

Pertengkaran antara keluarga itu berterusan di mana anak mangsa tetap tidak membenarkan bapanya masuk ke rumah. Polis kemudiannya menasihatkan supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan secara aman kerana ini merupakan permasalahan keluarga.

Polis memaklumkan, anak mangsa datang ke Balai Polis Sungai Kob kira-kira jam 9 malam untuk mencari rumah sepupunya bertujuan menghantar mangsa kepada mereka.

Sinar Harian kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dia mengarahkan supaya anak mangsa menyerahkan mangsa ke JKM sebelum dibawa ke mahkamah untuk arahan penempatan tinggal di rumah orang tua.

No comments:

Post a Comment