Lapan beranak merempat
KUALA LUMPUR 23 Mac - Akibat kesempitan hidup, seorang ibu yang disyaki menghidap kanser payu dara, terpaksa merempat di kaki lima bersebelahan tempat pembuangan sampah di sebuah rumah pangsa di sini bersama tujuh anaknya yang masih kecil, sejak seminggu lalu.
Disebabkan keadaan itu, kesemua anak Suraya Ismail, 35, kini menghidap jangkitan kurap di kepala, muka dan anggota badan lain yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Kedaifan itu turut menyebabkan tiga anaknya iaitu Nurul Haizatul Ardiela Abdullah, 12; Nurul Anis Farhana Abdullah, 11; dan M. Aieman Hakim Abdullah, 8, terpaksa berhenti bersekolah sejak tiga bulan lepas.
Suraya berkata, dia tidak mampu membeli barangan keperluan untuk keluarganya kerana tiada kerja tetap dan terpaksa merayu belas ihsan jiran tetangga serta saudara-mara untuk mendapatkan bekalan susu buat anak bongsu, M. Fizz Iqram Badrisya Hamidi.
"Keadaan kami sekeluarga bertambah teruk selepas suami saya perlu menjalani program pemulihan dadah di Karak, Pahang sejak tahun lalu. Kami telah dihalau dari rumah kerana gagal membayar sewa yang tertunggak.
"Justeru, saya merayu budi baik sesiapa sahaja yang prihatin terhadap nasib kami sekeluarga untuk menghulurkan bantuan. Anak saya berhak meneruskan persekolahan dan menerima penjagaan yang sebaik-baiknya," ujarnya di sini hari ini.
Tersentuh dengan nasib malang keluarga itu, Pasukan Petugas 1Malaysia MCA Wilayah Persekutuan (MCAFT) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini mengunjungi mereka dan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dan wang tunai.
Jelas Penolong Pengarah Bahagian Ekonomi dan Bantuan JKM, Abdul Razak Che Embi, keluarga berkenaan akan ditempatkan di sebuah rumah sementara berdekatan kawasan rumah pangsa tersebut sebelum menerima rumah baru dalam masa yang terdekat.
"JKM juga telah meluluskan permohonan Suraya untuk menerima bantuan kewangan khas RM450 sebulan berbanding kebiasaannya RM350 memandangkan keadaan keluarga ini yang begitu daif," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Suraya di talian 014-7316541 dan 012-6674184.
No comments:
Post a Comment