Wednesday, March 14, 2012

ibu dirang

Ibu Dirang tidak akan maafkan pembunuh
MOHD FIRDAUS YON, HAFIDZUL HILMI MOHD NOOR & AZLINA OTHMAN
13 Mac 2012
dirang ibu
PASIR GUDANG - “Saya mahu hukuman yang setimpal dikenakan ke atas orang yang melakukan sebegitu rupa kepada anak saya,” kata ibu Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang sambil gagal menahan rasa sebak di dada.
Menurutnya, dia tidak mengetahui sebab suspek yang membunuh Dirang berbuat sedemikian malah menuntut keadilan supaya suspek terbabit merasai kesakitan seperti dirasai anak perempuannya itu.
“Saya seakan dapat merasai kesakitan yang amat sangat dialami oleh Dirang. Anak saya masih kecil. Saya tidak tahu apa yang Dirang sudah buat sampai diperlaku sebegitu rupa.
“Jika dia minta duit, saya bukannya kaya, malah tidak berkerja. Musuh pun tiada. Saya tidak akan memaafkan mereka yang melakukan perbuatan ini ke atas Dirang. Biar mereka rasa apa yang anak saya rasakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di rumahnya di Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam di sini, hari ini.
Roselyn berkata, Allahyarhamah Nurul Nadhirah sempat menikmati sebungkus roti selain memeluk dan menciumnya sebelum hilang selepas pergi ke kedai untuk membeli mi segera.
“Dia ada peluk dan mencium saya sambil bertanya sama ada saya sayang atau tidak kepadanya. Sebelum ini, Dirang pernah meminta saya membelikannya buku tulis kerana dia suka melukis, namun saya tidak sempat memenuhi permintaannya,” katanya.
Roselyn turut mengakui tidak dapat tidur dan tidak lalu makan sejak Nurul Nadhirah yang mesra dipanggil Dirang, didapati hilang dan telah berusaha mencarinya dari pukul 8 pagi setiap hari sehingga malam dengan menaiki kereta di sekitar bandar.
Menyifatkan Dirang sebagai seorang anak yang baik dan tidak cerewet, katanya, dia pasti teringatkan Nurul Nadhirah setiap kali mahu membancuhkan susu untuk anak bongsunya, Ainul Suhada Abdullah, yang baru berusia dua bulan.
Katanya, sebagai kakak, Nurul Nadhirah sangat menyayangi adik perempuannnya dengan sentiasa memberikan ciuman serta memilihkan pakaian berwarna merah jambu.
“Nurul Nadhirah turut gemar mewarnai buku dan bercita-cita untuk menjadi seorang doktor," katanya.
Bapa tiri Dirang, Lima Medeng, 25, berkata, hubungan bersama Allahyarhamah Nurul Nadhirah amat rapat dan anak tiri perempuannya itu gemar untuk mengikut ke mana jua dia pergi.
Katanya, dia sangat berharap supaya orang yang melakukan perbuatan kejam ke atas Dirang akan menerima hukuman sewajarnya.
“Saya dengan Dirang amat rapat. Saya amat terasa kehilangan dan pemergiannya. Dia (Dirang) selalu sahaja mahu ikut ke mana sahaja saya mahu pergi.
“Mula terima berita daripada isteri memberitahu Dirang sudah mati, saya tidak percaya malah cuba menghubungi polis bagi mendapatkan pengesahan semula.
“Selepas sekali lagi polis mengesahkan serpihan rangka manusia hangus yang ditemui di Ladang Nusa Damai, Masai, tempoh hari, adalah Dirang, mula-mula saya rasa takut, namun kemudiannya sedih dengan pemergian Dirang,” katanya.
Sementara itu, datuk Dirang, Alan Alip, 49, berkata, jenazah Dirang akan dituntut keluarga pada hari esok sekitar jam 9 pagi untuk disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Masai.
“Saya tidak sangka, serpihan rangka manusia yang ditemui di ladang terbabit adalah Dirang. Kami menemui serpihan mayat itu ketika berusaha menjejaki cucu saya sehingga ke ladang berkenaan selepas bersama menunaikan Solat Fardhu Subuh berjemaah.
“Serpihan rangka manusia hangus yang juga merupakan cucu saya ditemui berdekatan sebuah rumah terbengkalai di ladang terbabit. Satu panggilan kepada pihak polis segera dibuat dengan penemuan itu, namun tidak menyangka ia adalah milik cucu saya sehinggalah  polis mengesahkan perkara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment