Nasib lapan beranak dapat perhatian JKM
KUALA LUMPUR 25 Mac - Kesempitan hidup seorang ibu, Suraya Ismail, 35, serta tujuh anaknya yang merempat di kaki lima sebuah rumah pangsa sejak seminggu lalu mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarah Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noormah Abd. Rauf berkata, ibu serta tujuh anaknya itu akan menerima bantuan segera berupa wang tunai RM300 dan bantuan am sebanyak RM450 sebulan.
"Berhubung bantuan rumah, perubatan dan persekolahan, JKM akan merujuk agensi berkaitan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kadar segera.
"Kami perlu merujuk kepada pihak yang berkenaan memandangkan JKM tidak menyediakan bantuan tersebut. Semuanya akan cuba diusahakan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kesempitan seorang penghidap kanser payu dara yang merempat di kaki lima bersebelahan tempat pembuangan sampah di sebuah rumah pangsa di sini bersama tujuh anaknya yang masih kecil sejak seminggu lalu.
Menurut Noormah, tiga anaknya yang tidak bersekolah akan dirujuk ke sekolah berdekatan selain diberi bantuan lain.
No comments:
Post a Comment