Thursday, March 15, 2012

lambaian

Lambaian terakhir
NOR AZURA MD AMIN
15 Mac 2012
Lambaian terakhir
PONTIAN – Seorang bapa tidak menduga lambaian anaknya sebelum bertolak ke tempat kerja adalah yang terakhir sebelum anaknya menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa, Muhammad Fitri A Gani, 19, yang bekerja di sebuah kilang elektronik di Senai menunggang basikal sebelum menaiki van kilang yang menunggu di hadapan kampungnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Bagaimanapun, basikal yang dinaiki itu terbabit dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van pekerja di Kilometer 1.2, Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, di Kampung Parit Panjang di sini.
Bapa mangsa, A Gani Ibrahim, 65, Gani, ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian pagi semalam memberitahu, dia didatangi jirannya selepas selesai bersolat subuh di masjid dan diberitahu mengenai kemalangan yang melibatkan seorang penunggang basikal berhampiran rumahnya.
“Saya terus berdebar-debar kerana ketika itu saya secara langsung fikirkan anak saya kerana dia me­nunggang basikal setiap pagi sebelum menaiki van kilang, Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ada seorang mangsa kemalangan sedang tertiarap di tepi jalan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendapati mangsa tersebut adalah anaknya sendiri dan terus memapah serta memeluknya.
“Saya dapati bahagian keadaan kepalanya dipenuhi darah," katanya.
Katanya, anak bongsu dari enam beradik itu baru dua bulan bekerja di Senai.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan, Wan Razani Wan Ibrahim berkata, kemalangan yang berlaku pada awal pagi itu membabitkan tiga kenderaan iaitu basikal, pacuan empat roda dan van pekerja.
Katanya, pacuan empat roda itu dari arah Bukit Batu ke Ayer Baloi manakala van pula dikatakan dalam perjalanan dari arah Ayer Baloi ke Kulaijaya.
Dalam kejadian itu katanya, empat mangsa mengalami kecederaan ringan manakala seorang cedera parah di bahagian kaki, manakala Muhammad Fitri meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Operasi di Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian, Mohd Zamry Sukarseh bersama enam anggota mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan alat pemotong.

 

No comments:

Post a Comment