Wednesday, January 18, 2012

yatim

Duka empat beradik yatim
Wartawan Sinar Harian
January 18, 2012
Duka empat beradik yatim
SUNGAI SIPUT (U) – “Peristiwa kehilangan ibu dua tahun lalu masih segar di fikiran kami, kini terpaksa berdepan masalah hilang tempat berteduh akibat kebakaran,” luah Meor Shaharudin Musa, 17 mangsa kebakaran di Felda Lasah, di sini, semalam.

Meor Shaharudin berkata, sewaktu kejadian dia dan adik-adiknya berada di sekolah dan dimaklumkan oleh pengetua mengenai kebakaran itu.

Menurutnya, mereka adik-beradik terkejut dan sangat sedih dengan kejadian itu, tambahan pula peristiwa kehilangan ibu masih lagi terasa.

“Sejak pemergian ibu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dua tahun lalu, ayah yang me­ngambil alih segala tugasan di dalam rumah.

“Selain keluar mencari rezeki, urusan makan minum dan keperluan semua ayah yang urusan untuk kami adik beradik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, walaupun sedih kami redha dengan ujian ini dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai cita-cita menjadi seorang tentera serta membela nasib keluarga.


Hanya lihat api marak

BAPANYA, Musa Abd Manaf, 48, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu apabila dihubungi oleh salah seorang saudara.

“Ketika sampai ke rumah, saya lihat api sedang marak dan bomba juga sudah ada melakukan operasi memadam kebakaran.

“Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan hanya mampu melihat rumah kami musnah dan saya hanya ada pakaian menoreh ini sahaja,” katanya.

Katanya, dia dan anak-anaknya terpaksa menumpang teduh di rumah saudara-mara.


3 minit kawal api

SEMENTARA itu, Ketua Balai Bomba Sungai Siput, Rozaman Wok berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan dalam operasi berkenaan dan pihaknya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk memadam kebakaran rumah terbabit.

“Kami terima panggilan pada jam 9.51 pagi dan tiba di lokasi dalam 16 minit kemudiannya memandangkan jarak lokasi kebaka­ran­ dari Pekan Sungai Siput ialah kira-kira 18 kilometer.

“Dengan menggunakan satu jentera, kami dapat mengawal kebakaran dalam masa 3 minit dan 90 peratus rumah berkenaan musnah,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian dan kerugian masih lagi dalam siasatan.


Bantuan segera RM2,000

MANAKALA, Pengerusi Majlis Pembangunan Kebajikan Parlimen Sungai Siput (Mayang), Datuk Dzulkifli Harun berkata, sumbangan segera diberikan bagi membantu keluarga berkenaan, lebih-lebih lagi bagi memudahkan urusan persekolahan anak-anak mangsa.

“Mayang menghulurkan sumbangan sebanyak RM1,000, manakala bagi pihak peribadi saya menambah sebanyak RM1,000 lagi memandangkan segala keperluan persekolahan anak-anak musnah.

“Kita bersimpati dengan nasib keluarga ini, dan pihak atau jabatan berkaitan diharapkan dapat membantu mereka,” katanya.

Katanya, difahamkan netbook yang diberikan kerajaan kepada anak mangsa turut musnah, dan pihaknya akan meminta pihak sekolah menguruskan permohonan lain, manakala Jabatan Pendaftaran diharapkan dapat memudahkan urusan mereka untuk membuat kad pengenalan baru.

No comments:

Post a Comment