Tiga maut dalam dua tragedi
January 13, 2012
Dalam kejadian pertama jam kira-kira 8.30 pagi, berdekatan Kampung Nyior, Paka, seorang jurukur bahan syarikat maut setelah kereta Toyota Vios dipandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
Kemalangan di Kilometer 93.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu menyebabkan mangsa, Ahmad Yasir Alias, 27 yang tersepit di tempat duduk pemandu gagal diselamatkan setelah mengalami cedera parah lalu menemui ajal di tempat kejadian.
Ketika kejadian, Ahmad Yasir yang bekerja dengan Syarikat Kontrak Bina Enterprise itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Paka menghala ke Dungun untuk menghadiri suatu mesyuarat di Sura Hujung.
Mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun sebelum dituntut ahli keluarga untuk dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Paloh, Makam Tok Ku, Kuala Terengganu.
Dua beradik dilanggar pacuan empat roda
Tragedi kedua pula meragut nyawa seorang remaja berlaku di Kilometer 85 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran simpang Kawasan Industri, Batu Tujuh.
Mangsa yang terbunuh, seorang buruh, dikenal sebagai KhairulAnuar Ariffin, 18.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang abang mangsa, Azam Wahi Afandi Ariffin, 23 dari arah Dungun dipercayai cuba masuk ke laluan kanan lalu dilanggar sebuah pacuan empat roda dari arah sama sebelum melanggar pembahagi jalan lalu tercampak di laluan bertentangan.
Azam, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai, Kelantan yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Dungun manakala adiknya (Khairul) yang membonceng di bahagian belakang maut di tempat kejadian.
Mayat mangsa yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan tersebut dan pihaknya kini sedang menjalankan siasat ke atas kedua—dua kes terbabit.
Ibu hiba tatap jasad anak terbujur kaku
Seorang ibu hanya terpaku di kerusi sambil menitiskan air mata sebaik menatap jasad anak lelakinya terbujur kaku di bilik mayat hospital.
Lebih menyedihkan apabila turut mengenangkan seorang lagi anak sulungnya, Azam Wahi Affendi, 23 yang kini berdepan saat mencemaskan tatkala dirawat pasukan perubatan sebaik tiba dari lokasi kemalangan setelah dia mengalami cedera parah dalam tragedi yang turut meragut adik kandungnya itu.
Bagi yang bersimpati dengan nasib menimpa ibu kepada enam anak itu, hanya kata-kata hikmat tanda redha atas kejadian menimpa yang mampu diucapkan.
Namun, apa dialami Rohani Seman, 46, kehilangan anak lelakinya, Khairul Anuar Ariffin, 18, yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu merupakan suatu perkara sukar diterima buat ibu mana sekalipun.
Rohani terpaksa berdepan dugaan berat itu berseorangan apabila suaminya Ariffin Bidin, 48 tiada di sisi sebagai sumber kekuatan kerana difahamkan terpaksa berada di Kota Bharu, Kelantan untuk menziarahi ahli keluarganya yang turut kemalangan dua hari lalu.
Terkilan tidak dapat tatap wajah anak
Dalam nada sebak, Rohani ketika ditanya Sinar Harian cuba mengimbas kembali detik terakhir ketika bersama anak kesayangannya itu.
“Pagi sebelum datang kerja, saya sempat menyediakan sarapan untuknya, tapi tak dapat menatap wajahnya kerana ketika itu dia masih tidur di biliknya.
“Tak sangka pula saya bakal bertemu semula dengannya petang ini dalam keadaan dia sudah tidak bernyawa,” kata Rohani.
Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka arwah anaknya itu pergi begitu cepat memandangkan tiada perubahan tingkahlaku ditunjukkan arwah sebelum terbabit dalam kemalangan melibatkan dua saudara itu.
Menurut Rohani yang bekerja sebagai kakitangan syarikat kebersihan Radicare di Hospital Dungun, kemalangan menimpa anaknya itu diketahui kira-kira jam 3.30 petang setelah dihubungi seorang individu yang memaklumkan berita mendukacitakan itu.
“Sebaik mendapat tahu berita kemalangan tersebut, saya terus bergegas ke tempat kecemasan dan melihat anak saya sedang dirawat oleh doktor.
“Pada masa sama, saya mendapat tahu Khairul Anuar telah meninggal dunia dan apabila tiba di sini, saya buka kain penutup mayat, ia sah anak saya,” kata Rohani.
Tercampak ke laluan bertentangan
Kemalangan membabitkan dua bersaudara berhampiran simpang kawasan industri Batu Tujuh kira-kira jam 3.10 petang itu dipercayai berlaku ketika motosikal dinaiki mangsa dari arah Dungun menghala ke Paka dikatakan masuk ke laluan kanan sebelum dilanggar sebuah
kereta pacuan empat roda lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan kedua mangsa tercampak ke jalan bertentangan.
Khairul Anuar yang membonceng motosikal meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala manakala abangnya, Azam Wahi Affendi sempat dikejarkan ke Hospital Dungun berikutan kecederaan dialami.
Jenazah mangsa kemudiannya dituntut ahli keluarga untuk dibawa ke rumahnya di Nibong Stesen sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahaya, Jalan Nibong.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan pihaknya.
Sementara itu, seorang pemandu Land Rover Polis, Mohd Amin Idris, 23 berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar tiang lampu ketika cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan secara tiba-tiba.
Kejadian berlaku di Batu Enam dalam keadaan permukaan jalan licin selepas hujan ketika anggota polis terbabit dalam perjalanan untuk mengambil mayat mangsa kemalangan di Batu Tujuh sebelum dihantar ke Hospital Dungun.
Sinar Harian dimaklumkan abang Khairul Anuar turut meninggal dunia pada jam 7.15 malam, semalam ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi, Hospital Dungun.
No comments:
Post a Comment