Sunday, January 8, 2012

suami ditahan di indon bebas atas bantuan kerajaan

Isteri anggap khabar angin
Wartawan Sinar Harian
January 8, 2012

PONTIAN – “Selepas saya diberitahu suami akan dibebaskan, saya tidak percaya.

"Saya menganggapnya ia hanyalah sebagai satu khabar angin kerana sebelum ini, sudah banyak banyak kali perkara sama didengar,” kata isteri Redzuan Ariss, Noor Aisyah Jamari, kepada Sinar Harian semalam.

Namun setelah dihubungi sendiri oleh wakil Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, perasaannya bertukar gembira dan sangat bersyukur dengan perkhabaran itu.

Katanya, dia bertambah yakin suaminya akan dibebaskan setelah diminta untuk pergi ke Putrajaya pada petang Rabu lalu bersama-sama ahli keluarga nelayan yang lain untuk bertemu Ahmad Maslan.

“Ia bagaikan mimpi apabila melihat susuk tubuh Redzuan di dalam feri semasa di Melaka dan terus meyakinkan saya bahawa pembebasan suaminya yang dinanti telah menjadi kenyataan,” katanya.

Ditanya apakah dirinya akan mengizinkan suaminya untuk turun ke laut selepas kejadian tersebut, Noor Aisyah menyerahkan perkara tersebut kepada Redzuan untuk membuat keputusan demi masa depan keluarganya.

“Terpulang kepada suami mengenai perancangannya selepas ini.

"Namun, saya tidak melarang sekiranya dia ingin turun ke laut semula bagi menambah pendapatan,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Ibrahim Mohd Kassim, Nurul Azlin Abd Latif juga turut meluahkan kesyukuran di atas pembebasan suaminya itu.

Katanya, walaupun mengakui mengalami pelbagai kesukaran sepanjang 10 bulan ketiadaan suaminya, namun dia sentiasa berdoa agar Ibrahim dibebaskan dan kembali ke pangkuan keluarganya.

“Alhamdulillah, doa kami telah ditunaikan. Keprihatinan kerajaan Malaysia dan usaha yang dilakukan Ahli Parlimen Pontian juga telah berjaya membawa mereka pulang pada hari semalam (kelmarin).

“Peristiwa ini banyak menguji kami, namun hikmah di sebaliknya, ia sebenarnya mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan di antara kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment