Enggan maafkan teman lelaki
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
January 8, 2012
AYER KEROH - Gadis yang ditikam teman lelaki dipercayai akibat cemburu belum membuat keputusan sama ada mahu memaafkan teman lelakinya itu atau sebaliknya.
Norzila Alismadi, 22, berkata, dia tidak pasti sama ada akan memaafkan perbua-tan teman lelakinya yang berusia 23 tahun itu selepas dia cedera ditikam dua kali di perut, selain diacu senjata tajam dan ditendang.
“Nak maafkan, susah la nak cakap. Tak tahulah macam mana. Tapi apa yang dia lakukan ini memang takkan saya lupa sampai bila-bila,” katanya.
Norzila juga mengakui keluarga teman lelakinya ada berjumpanya dan meminta maaf atas perbuatan kejam anaknya itu, namun ia masih belum membuka hati Norzila untuk memaafkannnya.
“Memang pihak keluarga suspek ada datang meminta maaf, semalam (kelmarin), tapi dengan apa yang dia (suspek) buat, saya pun tak tahu lagi macam mana,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka, di sini, semalam.
Norzila bagaimanapun yang tidak bercakap banyak ketika ditemui di wad, namun dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas melakukan pembedahan selama lima jam kelmarin.
Semalam, Sinar Harian melaporkan mangsa seorang pekerja restoran makanan segera cedera selepas ditikam teman lelakinya dipercayai akibat cemburu berikutan mangsa mempunyai rakan lelaki lain.
Kejadian berlaku kira-kira 11 malam, Khamis lalu selepas mangsa berjumpa suspek di belakang restoran di Lebuh Raya Ayer Keroh, di sini sebelum memulakan tugas.
Dalam kejadian itu, suspek turut cedera di betis kiri dipercayai mencederakan diri sendiri dan ditahan reman sehingga 12 Januari ini untuk siasatan.
No comments:
Post a Comment