Dibunuh kejam selepas disamun
KUALA LUMPUR 27 Jan. – Seorang adik yang mahu melawat kakaknya yang sedang bercuti hari ini, terkejut apabila menemui wanita itu dibunuh dengan kejam selepas disamun di bilik sewanya di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Sri Petaling di sini hari ini.
Mayat wanita warga Indonesia dikenali sebagai Kurnani, 45, ditemui oleh adik perempuannya dalam keadaan berlumuran darah, hanya memakai coli dan digulung dengan selimut di tepi katil pada pukul 4.45 petang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata, adik mangsa yang hairan apabila kakaknya tidak membuka pintu setelah diketuk beberapa kali telah mengambil tangga dan memanjatnya untuk menjenguk ke dalam bilik disewa wanita tersebut.
Beliau berkata, adik mangsa terkejut melihat kakaknya terbaring berlumuran darah lalu segera memaklumkan kejadian itu kepada polis.
“Polis yang menjalankan siasatan, mendapati mangsa mati akibat ditikam dan dikelar di beberapa bahagian badan, manakala barang kemas yang biasa dipakai wanita itu juga didapati hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam ini.
Wan Bari berkata, polis mengesyaki suspek yang membunuh mangsa mungkin individu yang dikenali kerana pintu bilik mangsa dikunci dari dalam, manakala keadaan dalam bilik tidak berselerak.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja di restoran terletak sebaris dengan rumah sewanya sudah 10 tahun tinggal di negara ini dan mempunyai dokumen perjalanan sah.
Katanya, rumah kedai tersebut mempunyai tiga tingkat dengan tingkat dua dan tiga masing-masing mempunyai sembilan bilik yang disewakan kepada warga asing yang bekerja di restoran berhampiran.
“Saya minta orang ramai khususnya penghuni yang tinggal berhampiran dengan bilik sewa mangsa agar menghubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields, Asisten Supritendan Ari Krisnan di talian 012-6107965 jika mempunyai maklumat mengenai kejadian pembunuhan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang kenalan mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui memberitahu, Kurnani yang mesra dipanggil Nani sudah kematian suami dan mempunyai lima anak.
Katanya, seorang anak mangsa tinggal di Ampang dekat sini, manakala empat lagi berada di Indonesia.
“Nani diberi cuti oleh majikannya sejak Sabtu lalu sempena Tahun Baru Cina dan pada pukul 11 pagi ini, majikannya ada menelefon Nani memintanya membuat persediaan membuka kedai esok.
“Sebelum ditemui mati dibunuh, ada rakan memaklumkan mereka ada bertemu Nani pergi ke bank berhampiran untuk berurusan dengan memakai barang kemas,” katanya sambil memberitahu wanita itu ditemui hanya bercoli sebab mahu pergi mandi.
No comments:
Post a Comment