Sunday, January 29, 2012

maut cari anak

Maut ketika cari anak
Oleh YUSMAWATI MHD YUSOF
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Kasih ibu membawa ke mati. Itulah yang berlaku kepada seorang wanita kepada empat anak yang sanggup keluar berjalan kaki semata-mata mahu mencari dua anaknya yang tidak pulang ke rumah hingga lewat malam.

Bagaimanapun, niat suci Rosmariah Mohamad, 34, tidak kesampaian apabila dia terbunuh selepas dipercayai dilanggar 250 meter daripada kediamannya di Jalan Tun Teja, Cheng, dekat sini, awal pagi semalam.


Difahamkan, mangsa keluar dari rumahnya jam 12.30 tengah malam berikutan risau dengan dua anaknya, Mohd Shazurin Farhan Samad, 15, dan Mohd Syazrul Fahmi, 12, yang masih belum pulang selepas keluar bermain futsal di sebuah pusat sukan, pada malam itu.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, wanita berkenaan dipercayai dilanggar kenderaan sebelum tercampak ke dalam longkang berhampiran.


Akibat kemalangan itu, kepala mangsa dikatakan turut pecah dan cebisan otaknya tercampak ke dalam pagar berhampiran kawasan kejadian.


Suami mangsa, Samad Saliman, 37, tidak menyedari isterinya keluar rumah kerana ketika itu dia tidur dan hanya tersedar untuk mencari arwah, jam 4 pagi semalam.

“Saya mencarinya di merata tempat tetapi tidak jumpa dan pulang semula ke rumah. Namun, ketika bersiap keluar mencarinya semula jam 8 pagi tadi (semalam), saya dimaklumkan jiran bahawa ada mayat di dalam longkang.


“Berikutan tidak sedap hati, saya bergegas ke tempat kejadian dan betapa luluhnya hati ini apabila mendapati mayat dalam keadaan mengiring itu adalah arwah isteri saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, hampir setiap hari kedua-dua anaknya bermain futsal di pusat sukan berkenaan dan menjadi kebiasaan arwah isterinya mencari dan memanggil anaknya pulang ke rumah apabila lewat malam.


Samad berkata, dia kecewa dengan sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan mayat isterinya tanpa melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.


Dalam pada itu, suasana di lokasi kejadian bertukar pilu apabila Samad dilihat hanya duduk bersebelahan mayat isterinya, manakala empat anak mereka membaca surah Yasin berhampiran mayat ibu mereka.


Selain Mohd Shazurin Farhan dan Mohd Syazrul Fahmi, arwah turut meninggalkan dua lagi cahaya mata iaitu Mohd Isyazwan Firdaus, 16, dan Mohd Nor Syarin, 13.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah ketika dihubungi berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berkenaan adalah kes langgar lari.


“Siasatan awal Unit Forensik juga mendapati ada bukti cermin sisi kenderaan yang dipercayai melanggarnya tercabut dan beberapa pokok turut patah.


“Akibat rempuhan, mangsa terpelanting ke pokok sebelum terhumban ke dalam longkang. Mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala,” katanya yang mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment