Anak saya mati bukan tercekik susu - Bapa
KUALA LUMPUR 20 Jan. - Bapa salah seorang bayi malang yang meninggal dunia ketika dalam jagaan di pusat asuhan mendakwa anak kesayangannya itu mati bukan disebabkan tercekik susu.
Sebaliknya, bapa Arif Amsyar, Ruhi Budiman Samsuri, 35, mendakwa, dia dimaklumkan pihak hospital masih lagi menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian tersebut.
"Pihak hospital hanya memberitahu mereka akan jalankan siasatan terperinci punca kematian Arif anak saya," katanya.
Ruhi Budiman berkata, malam semalam, pengasuh terbabit ada menghubungi isterinya bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan apa yang dibincangkan.
Semalam, dua bayi lelaki Muzaffar Mohd. Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar, tujuh bulan yang ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Taman Permata meninggal dunia dipercayai akibat tercekik susu dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang.
Difahamkan tragedi itu dikatakan berlaku selang 10 minit apabila Muzaffar dihantar ke sebuah poliklinik di Taman Permata untuk diberi rawatan kecemasan.
Arif Amsyar yang dipercayai meninggal dunia kira-kira 10 minit selepas Muzaffar di sebuah poliklinik di Taman Permata juga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang pagi ini.
Dalam pada itu, seorang lagi bayi malang, Muzaffar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat AU5 pagi ini.
Bapa Muzaffar, Mohd. Faizal Jaafar, 32, yang ditemui pemberita di rumah mereka di Lembah Keramat AU5 di sini selepas pengebumian anak bongsunya berkata, kematian bayi lelakinya itu membuatkan dia dan isteri amat terasa kehilangannya.
Meskipun menerima kejadian itu sebagai takdir, Mohd. Faizal berkata, dia pasti selepas ini akan merindui tangisan Muzaffar.
Menceritakan lebih lanjut, dia berkata, Isnin lalu, terdapat tanda-tanda Muzaffar akan pergi apabila bayinya itu tidak meragam mahupun menangis walaupun diganggu pada waktu tidur.
"Pada hari itu, saya baru pulang dari kerja kira-kira pukul 7.30 petang manakala isteri saya pergi jamuan makan malam syarikatnya. Selepas membersihkan badan, saya mendapatkan Muzaffar yang sedang lena tidur dengan menciumnya beberapa kali.
"Dia (Muzaffar) yang terjaga dari tidur tidak menangis walaupun diganggu dan hanya membuka mata sambil mengeliat.
"Saya dan isteri agak pelik kenapa pada hari itu dia tidak kerap menangis seperti selalu," katanya yang pergi ke Ipoh pada Rabu dan seterusnya ke Alor Setar keesokannya bagi meninjau tapak projek.
No comments:
Post a Comment